London: Tottenham Hotspur semakin hampir mendapatkan penyerang Manchester City, Omar Marmoush secara pinjaman semusim dengan kewajipan membeli pada harga £60 juta (RM328.4 juta) pada akhir musim depan.
Media Britain melaporkan pemain Mesir berusia 27 tahun itu dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan bersama Spurs sebelum perpindahan berkenaan dimuktamadkan.
Marmoush bakal menjadi pemain kedua City yang menyertai Tottenham dalam tempoh beberapa hari selepas pemain sayap Brazil, Savio terlebih dahulu berpindah ke kelab London itu dengan yuran awal dilaporkan £75 juta (RM410.5 juta).
Perpindahan itu menyaksikan Tottenham terus berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas dengan jumlah keseluruhan melebihi £300 juta (RM1.64 bilion).
Antara pemain lain yang menyertai Spurs ialah Sandro Tonali, Mateus Fernandes, Jan Paul van Hecke, Andy Robertson dan Marcos Senesi.
Namun, pembelian besar-besaran itu belum memberikan hasil yang diharapkan apabila Spurs membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kekalahan 0-3 kepada Brentford minggu lalu.
Bagi City, perpindahan Marmoush membolehkan mereka mendapatkan semula hampir keseluruhan wang yang dibayar kepada Eintracht Frankfurt untuk mendapatkan pemain itu pada Januari 2025.
City membayar sekitar £59 juta (RM323 juta) untuk mendapatkan khidmat penyerang itu yang mencatat 16 gol dalam 62 penampilan.
Bagaimanapun, Marmoush gagal mendapatkan tempat tetap dalam kesebelasan utama kerana lebih banyak berperanan sebagai pemain gantian kepada penyerang utama, Erling Haaland.
Dia juga hanya menjadi pemain simpanan yang tidak digunakan ketika City menentang Bournemouth pada aksi pembukaan EPL, Ahad lalu.
Penampilan terakhirnya bersama City hadir ketika aksi Perisai Komuniti seminggu sebelumnya.
Marmoush dijangka mendapat peluang lebih besar di Tottenham yang sedang membina semula skuad selepas kempen mengecewakan musim lalu.
Dalam perkembangan sama, City terus melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad selepas pemergian Pep Guardiola pada penghujung musim lalu.
Antara pemain utama yang meninggalkan Etihad ialah Rodri, Bernardo Silva, John Stones, Tijjani Reijnders, Nathan Ake dan James Trafford.
© New Straits Times Press (M) Bhd
