norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Tidak mahu terus dibayangi atau terikat ‘kitar semula’ dengan watak sebagai ‘penunggang agama’, pelakon, Firdaus Karim, 44, mengambil pendekatan menolak secara baik dengan alasan munasabah diberikan.
Ujarnya yang dikenali sebagai Ustaz Irfan dalam drama Doa Yang Terlindung di TV3, memang dia ada terima tawaran berlakon drama tetapi, kebanyakan karakter diberi hampir sama iaitu ‘penunggang agama’.
“Sebelum dan selepas berlakon Doa Yang Terlindung, saya tidak nafikan walaupun masih baharu tetapi memang ada tawaran-tawaran untuk memainkan drama. Cuma, waktu itu saya rasa watak-watak diberikan untuk cuba diajak bermain, ada orang lain lebih layak.
“Jadi, itu rezeki orang lainlah. Antaranya, saya ada dapat watak seorang ustaz juga, ada mengenai orang-orang yang berselindung di sebalik kebaikan. Memang ada watak yang mirip dan ada juga watak lain. Cuma, watak-watak itu sudah pernah saya mainkan sebelum ini.
“Maka, saya tolak terima tawaran itu sebab tidak mahu ada rasa takut dan tidak adil kepada produksi sebabnya saya bimbang persembahan dalam lakonan nanti ada mirip dan jadi macam ‘recycle’ (kitar semula) dan tidak seronok lah.
“Oleh itu, saya cakap kepada produksi bahawa watak diberi berkenaan sudah pernah saya mainkan. Jadi, saya rasa lebih elok dibawa oleh orang lain pula untuk ia diterokai lebih baik lagi,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia mengambil inisiatif memaklumkan terus kepada pihak penerbit dengan alasan kukuh agar tiada salah faham berlaku dan mereka tahu sebab-sebab yang sebenar kenapa ditolak?
“Setakat ini, penerbit bersetuju dengan alasan-alasan saya untuk kita ‘win-win situation’ sebab saya pun tidak mahu dia (penerbit) menanggung sebarang kritikan terhadap lakonan yang saya dipersembahkan nanti.
“Tetapi, macam saya Alhamdulillah masih lagi orang kata ada peluang untuk ladi daripada ‘being type cast’ sebegitu. Jadi, ada projek lakonan yang saya perlu tolak. Namun, untuk projek filem kecil seperti ‘short film’ ada juga saya buat.
“Termasuk, projek ‘For You Page’ (FYP) untuk pelajar pun ada saya buat. Sebab, inilah peluang untuk ‘lari’ daripada asyik melakonkan watak hampir sama itu,” jelasnya menepis dakwaan tolak rezeki.
Firdaus berkata, soal rezeki dia memang yakin dan percaya dengan ketentuan daripada Allah yang sudah mengaturkan dengan baik untuknya serta orang lain dan tidak perlu terlalu memikirkannya.
Dalam sekuel drama Doa Yang Terlindung 2 nanti, Firdaus bergandingan bersama Fasha Sandha, Nafiz Muaz, Sharifah Rose, Cristina Suzanne, Syed Irfan dan ramai lagi yang akan mula penggambaran pada September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
