P.Pinang salur RM3.8 juta bantu huffaz, SAR dan jemaah haji B40

BUTTERWORTH : Lebih RM3.8 juta disalurkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk membantu golongan huffaz, Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta jemaah haji yang kurang berkemampuan atau B40 pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk terus memperkukuh Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI) 2030 di negeri itu ketika ini.

Mohamad berkata, sumbangan kepada al-huffaz diberi sebagai inisiatif khas atau penghargaan daripada kerajaan negeri kepada para hafiz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memartabatkan kalam Allah di bumi Pulau Pinang.

“Sumbangan ini diberi secara ‘one-off’ iaitu sebanyak RM500 sejak 2008 dan untuk tahun ini, seramai 700 hafiz telah dipilih membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM350,000,” katanya ketika ditemui semasa majlis penyampaian sumbangan itu di Seberang Jaya, hari ini.

Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, sebanyak RM3.25 juta pula telah disalurkan bagi membantu kira-kira 332 buah SAR di seluruh Pulau Pinang pada tahun ini.

Beliau berkata, penyaluran itu dibuat bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan kecil, perbelanjaan utiliti serta kegiatan kokurikulum pelajar di sekolah berkenaan.

Selain itu, katanya, seramai 237 jemaah haji yang dikategorikan sebagai B40 turut menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM1,000 tiap seorang pada tahun ini walaupun bantuan itu diterima selepas musim haji berakhir.

“Bantuan ini (untuk jemaah haji) pula mula diagih bermula pada 2024 dan sehingga kini, kira-kira RM1.045 juta telah disalurkan untuk tujuan tersebut,” ujar beliau.

Tambah Mohamad, kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus menyokong institusi pendidikan Islam, menghargai para penghafaz al-Quran serta memastikan kebajikan umat Islam di Pulau Pinang sentiasa terjamin.-UTUSAN

Scroll to Top