PASPA perkukuh kepakaran di China hadapi bencana gempa bumi, runtuhan

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat (SAR), khususnya menghadapi bencana gempa bumi serta runtuhan bangunan dan struktur.

Langkah itu dilakukan menerusi penyertaan dalam kursus profesional di Yunnan, China.

Kursus anjuran APM dengan kerjasama International Search and Rescue Alliance (ISARA) itu berlangsung dari 25 Ogos hingga 11 September ini, dengan disertai enam anggota PASPA yang mewakili pelbagai bahagian dan negeri.

Peserta terdiri daripada Mejar (PA) Zairosnizam Mohd Tarmizi dari PULAPAS; Kapten (PA) Marinus Mathius (WP Labuan); Leftenan (PA) Ab Azizul Hakim Ab Rahim (Selangor); Leftenan (PA) Mohd Harith Che Noh (Kelantan); Lans Koperal (PA) Muhammad Jazmi Hafiz Ahmad Hashim dan Lans Koperal (PA) Ahmad Danial Ellyas Nazri.

Majlis pembukaan kursus berkenaan disempurnakan Konsul Jeneral Malaysia keenam di Kunming, China, Muhamad Akmal Abdul Wahab, kelmarin.

Penyertaan itu bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan anggota PASPA dalam operasi SAR, terutama ketika berdepan insiden gempa bumi, bangunan runtuh dan struktur yang mengalami kerosakan serius.

Sepanjang latihan, peserta turut didedahkan kepada teknik penilaian kestabilan struktur, kaedah mengesan dan menyelamat mangsa, penggunaan peralatan menyelamat, pengurusan risiko serta pelaksanaan operasi di kawasan struktur runtuh.

Kerjasama strategik berkenaan turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan pengalaman antarabangsa dalam bidang Urban Search and Rescue (USAR), selain memperkukuh tahap profesionalisme serta kesiapsiagaan PASPA sebagai pasukan elit APM.

Ilmu dan kemahiran yang diperoleh diharap dapat diterapkan dalam operasi sebenar di Malaysia, sekali gus meningkatkan kecekapan pasukan dalam menangani bencana serta menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan struktur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top