Bekas pengerusi TH, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan direman 7 hari

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ahli politik yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF) direman tujuh hari berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Perintah reman sehingga 2 September ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Peguam mewakili individu terbabit memaklumkan kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri berusia 60-an yang memakai pakaian lokap jingga dan bergari itu, tiba pada jam 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM.

Terdahulu media melaporkan seorang ahli politik bergelar Datuk Seri yang juga bekas Pengerusi TH ditahan SPRM semalam, bagi membantu siasatan kes susulan pendedahan dan dapatan Laporan RCI berkaitan agensi berkenaan.

Turut ditahan untuk siasatan kes sama adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di MOF bergelar Tan Sri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua kenamaan terbabit bagi membantu siasatan sedang dijalankan suruhanjaya itu.

Jumaat lalu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH ditahan dan direman SPRM berkait siasatan kes sama.

Sebelum itu, SPRM menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Mereka terdiri daripada seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, selain seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Sebelum ini, laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun disiapkan, mengemukakan 25 syor utama bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi terbabit.

Antara syor utama yang terkandung dalam laporan RCI terbabit ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.

Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung laporan RCI TH itu dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top