Azeva tak halang A. Aida kahwin lagi – “Jika mampu jaga mama, saya okey”

Azeva tak halang A. Aida kahwin lagi – “Jika mampu jaga mama, saya okey”

Tular mengenai hantaran bernilai RM10 juta yang didakwa diberikan kepada ibunya, Datuk A. Aida, penyanyi Azeva menyerahkan kepada produser terkenal itu sendiri untuk mengulas spekulasi kononnya wanita berkenaan bakal mendirikan rumah tangga buat kali keempat.

Azeva tak halang A. Aida kahwin lagi – “Jika mampu jaga mama, saya okey”

Memetik laporan HibGlam, Azeva atau nama sebenarnya, Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin berkata, dia tidak mempunyai masalah sekiranya ibunya memilih untuk berkahwin lagi, namun sebagai anak, dia tetap perlu memastikan lelaki yang bakal menjadi pasangan ibunya benar-benar mampu menjaga serta tidak mengambil kesempatan terhadap wanita itu.

“Bagi saya kalau ada hantaran RM10 juta untuk mama, saya okey sahaja, cuma kena tanya dia sendiri untuk mengesahkan mengenai spekulasi yang diperkatakan baru-baru ini.
“Tapi jika minta pendapat berkenaan calon (suami) mama, saya kena kaji dulu lelaki itu. Asalkan dia mampu jaga mama, tak menyusahkan dan tak jadi biawak hidup, saya okey.
“Jangan tiba-tiba nak kahwin, kemudian lelaki itu tak mahu bekerja dan hanya nak bergantung kepada mama. Memang tak lah,” katanya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azeva yang juga pelakon dan pengacara mendedahkan dia mengetahui kata laluan telefon ibunya dan tidak teragak-agak memeriksa peranti tersebut sekiranya mempunyai rasa curiga terhadap sesuatu.

“Saya memang pantau serta semak telefon mama. Dia pun tahu saya suka tengok selain maklum saya ingat semua kata laluan, bukan masalah pun kepadanya.
“Jadi kalau tiba-tiba tergerak hati, saya akan semak mesej mama. Mahu berjaga-jaga. Lepas itu saya akan tanya, ‘Siapa ni, mama? Apa ni?’,” ujarnya sambil ketawa.

Menurutnya, sikap tegas itu bukan bermaksud dia mahu mengawal kehidupan peribadi ibunya. Sebaliknya, Azeva bimbang ibunya tersilap memilih pasangan, terutama selepas mendakwa terdapat beberapa lelaki sebelum ini cuba mendekati A. Aida kerana mahu mengambil kesempatan terhadap kestabilan ekonominya.

“Banyak kali lelaki dekati mama macam itu. Dia nak stabilkan ekonomi. Sebab itu saya kena tegas sedikit dengan mama,” jelasnya.

Bagaimanapun, pemilik syarikat Hello Production itu mengakui hatinya tersentuh melihat ibunya melalui kehidupan seorang diri sejak sekian lama dan tidak sanggup membiarkan A. Aida terus kesunyian.

“Saya tahu mama sunyi. Sudah lama dia bangun tidur seorang, hidup seorang dan makan seorang. Kalau dia nak kahwin, saya gembira sangat,” katanya.

Azeva ialah anak hasil perkahwinan A. Aida dengan bekas suaminya, Ameng Spring. Pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak, Wan Az Aleesa, manakala perkahwinan kedua A. Aida pula menghasilkan seorang putera, Muhammad Fuad.

Sementara itu, dari sudut kerjaya, anak kedua daripada tiga beradik itu bakal melangkah ke layar perak menerusi filem sulung terbitan syarikatnya sendiri, *Bisikan Nafsu*, yang dijadualkan menemui penonton bermula 1 Oktober ini.

Artikel lain: Azeva nafi buat hidung, mancung semula jadi -“Tengoklah mama saya, cantik macam mana”

Filem terbitan bersama A. Aida Production dan Mache Allstar United berkenaan menampilkan Aniq Suhair dan Azeva sebagai teraju utama.

Selain mereka, naskhah terbabit turut dibintangi Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah serta Aishah Husna.

Sumber: HibGlam (Hanisah Selamat)

Scroll to Top