KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan sindiket perlombongan haram membabitkan 24 lombong di seluruh negara dengan nilai rampasan termasuk pelbagai hasil bumi mencecah RM119 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, menerusi Op Gali Mega bermula 19 hingga 23 Ogos itu juga, seramai 99 orang turut ditahan.
Katanya, sebanyak 45 lokasi perlombongan telah diperiksa dengan 14 lokasi di Sabah, diikuti Sarawak (tujuh), Pahang (enam), Selangor (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (tiga), Perak (tiga), Negeri Sembilan (dua), Kedah (dua) dan Johor (satu).
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 24 lombong haram dikesan manakala 21 lagi mempunyai lesen perlombongan yang sah.
“Dalam operasi sama, seramai 146 individu telah diperiksa dan daripada angka tersebut seramai 99 orang berusia 18 hingga 64 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka ditahan melibatkan 61 warga tempatan dan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI). Jumlah nilai rampasan yang berjaya dilaksanakan hampir RM119 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Zukni Ahmad Khalil.
Mohd. Yusri berkata, daripada jumlah itu 33,000 tan hasil bumi bernilai hampir RM21 juta dirampas membabitkan antaranya kaolin, arang batu dan pasir.
Katanya, turut dirampas sebanyak 55 kenderaan yang membawa nilai sebanyak hampir RM14.8 juta serta 87 buah jentera berat bernilai kira-kira RM38.7 juta.
Tambahnya, lain-lain rampasan melibatkan 194 pelbagai unit peralatan melombong yang membawa nilai hampir RM44.3 juta.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihak polis telah mengesan seramai 32 individu dan 21 syarikat yang terlibat dalam aktiviti perlombongan ini.
“Senarai individu dan syarikat yang terlibat telah diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan siasatan bagi mengesan ketirisan cukai,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau tidak tolak kemungkinan ada penglibatan ahli geologi dan pakar perlombongan dari luar negara terlibat dengan sindiket terlibat.
“Kami juga syak ada antara perlombongan di satu negeri tertentu mempunyai kaitan dan siasatan juga akan diteruskan dengan semua agensi penguat kuasa termasuk elemen rasuah serta rantaian sindiket,” ujarnya.
Tambah beliau, pembanterasan aktiviti perlombongan haram dapat mengurangkan risiko pencemaran sungai, hakisan tanah, kemusnahan hutan, sedimentasi serta kerosakan kawasan tadahan air dan habitat semula jadi.
“Selain, operasi bersepadu ini berupaya mengesan kesalahan lain yang berkaitan seperti penggunaan PATI, penyalahgunaan permit, pencerobohan tanah kerajaan, kesalahan alam sekitar, penyelewengan bahan api serta kemungkinan aktiviti pengubahan wang haram,” ujarnya.-UTUSAN

