yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pengasas rangkaian makanan Boat Noodle dan BananaBro, Tony Lim meninggal dunia pada usia 47 tahun.
Pemergian beliau dimaklumkan kedua-dua rangkaian restoran itu menerusi hantaran di Facebook masing-masing, hari ini.
BananaBro dalam kenyataan berkata, sumbangan Tony bukan sekadar berkisar kepada impian peribadi, sebaliknya turut didorong hasrat memperkenalkan budaya menikmati hidangan daun pisang di negara ini ke pentas dunia.
Restoran itu turut bertekad untuk meneruskan serta menjunjung legasi yang ditinggalkan mendiang.
“Biarpun mendiang sudah tiada, impian beliau akan terus hidup menerusi hidangan daun pisang yang disajikan serta kebaikan dan keprihatinannya terhadap setiap insan.
“Terima kasih, Tony. Semangat dan dedikasi anda menjadi inspirasi kepada kami, kemurahan hati anda meninggalkan kesan mendalam,” katanya.
Sementara itu, Boat Noodle mengenang mendiang sebagai individu yang tidak mudah berputus asa, sentiasa yakin terhadap kemampuan diri serta mahu melihat kejayaan dikecapi bersama.
Menurutnya, Tony membina jenama Boat Noodle berlandaskan semangat, keazaman dan keyakinan meskipun terpaksa menempuh perjalanan yang mencabar.
“‘Bersama Kita Berkembang’ bukan sekadar ungkapan Tony, sebaliknya prinsip sentiasa dipegang dan diamalkan dalam kehidupannya.
“Kepada setiap insan yang pernah menikmati semangkuk hidangan, berkongsi senyuman atau menjadi sebahagian daripada perjalanan Boat Noodle, kami merakamkan penghargaan dan terima kasih.
“Anda sebahagian daripada impian amat bermakna buat mendiang. Tony, terima kasih kerana mempercayai kami atas segala ilmu dan tunjuk ajar dicurahkan serta meninggalkan sesuatu sangat bermakna untuk diteruskan.
“Kami akan merindui senyumanmu, semangat juangmu dan keyakinanmu yang tidak pernah luntur terhadap kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




