Mengakui kuasa dan kedudukan boleh menjadi ujian kepada seseorang pemimpin, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir menjadikan prinsip integriti sebagai peringatan utama sepanjang berkhidmat kepada rakyat.
Menurut laporan Malaysia Gazette, lebih mesra disapa Nana, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu berkata, isu sakau yang hangat diperkatakan baru-baru ini sebenarnya merujuk kepada peringatan buat dirinya sendiri supaya tidak terjerumus dalam salah guna kuasa.
Katanya, beliau mahu menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh dalam mempertahankan ketelusan dan menolak sebarang perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Bila kita ada kuasa, kita mungkin diuji dan itu merupakan tekad Nana untuk terus memperingati diri dengan mencontohi tokoh seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sangat telus dan menentang apa-apa yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Foto: FB Farzana Hayani
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette pada program Walkabout bersama penduduk tempatan di Klebang, Tangga Batu.
Dalam pada itu, calon berusia 26 tahun berkenaan tidak menganggap faktor usia dan ketiadaan gelaran sebagai kekurangan untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Sebaliknya, Nana berpandangan kemampuan seseorang calon memahami denyut nadi masyarakat lebih penting, terutama menerusi pendekatan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan pengundi.
Mengulas tanggapan pihak luar yang mempersoalkan pengalaman calon muda, beliau berkata, pengalaman tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya melalui usaha memahami serta menyelesaikan masalah rakyat.
“Usia dan title (gelaran) bukan ukuran semata-mata untuk kita terus bantu rakyat tetapi apa yang penting, kita ambil tahu masalah rakyat, turun padang, jumpa pengundi dan cuba selesaikan sebaik mungkin,” ujarnya.
Foto: FB Farzana Hayani
Menghadapi PRN Melaka kali ini, Nana turut melihat pencalonannya di Klebang sebagai peluang lebih bermakna berbanding pengalaman pertama bertanding di kerusi DUN Sungai Rambai pada pilihan raya lalu yang menyaksikan beliau tewas.
Sebagai anak jati Bukit Rambai yang terletak dalam kawasan DUN Klebang, beliau berkata persiapan jentera dan jawatankuasa telah digerakkan lebih awal bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya kali ini.
Malah, keupayaannya bertutur dalam bahasa Mandarin turut dilihat sebagai satu kelebihan untuk mendekati kelompok pengundi Cina di kawasan berkenaan.
Nana yang merupakan bekas murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Chye, Bukit Rambai sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina Melaka, berkata beliau turut mempelajari bahasa Mandarin sebagai subjek ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Justeru, kemahiran itu mahu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membina hubungan lebih dekat dengan masyarakat Cina dan meraih sokongan mereka di Klebang.
Mengulas sasaran pada PRN Melaka ke-16, Nana tidak berselindung apabila menyatakan kemenangan menjadi matlamat utama selain mahu terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Of course, bila dicalonkan tu kita mesti target untuk menang, target untuk bantu rakyat, dan terus turun padang insya-Allah,” katanya lagi.
Sumber: Malaysia Gazette (Rosnani Nasir)




