‘Kalau Amanah bersama UMNO bukan ‘Machiavelli’, apa namanya?’ – Ahmad Fadhli

‘Kalau Amanah bersama UMNO bukan ‘Machiavelli’, apa namanya?’ – Ahmad Fadhli

SHAH ALAM – Pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) yang sebelum ini menolak kerjasama politik antara Pas dan UMNO dipersoalkan apabila parti tersebut kini berada dalam kerajaan bersama UMNO.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Amanah sebelum ini lahir dengan alasan tidak bersetuju Pas bekerjasama dengan UMNO, namun kini kedua-dua parti berkenaan berkongsi kuasa dalam kerajaan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila Pas dan Perikatan Nasional (PN) pula dilabel mengamalkan politik ‘Machiavelli’ hanya kerana mengambil pendekatan sama ketika berdepan siri pilihan raya negeri.

“Hari ini, bukankah Amanah dan UMNO sama-sama duduk dalam kerajaan dan berkongsi kuasa?. Kalau itu tidak dinamakan politik ‘Machiavelli’, apa lagi namanya?

“Jangan lupa, pernah ada pemimpin Amanah yang tergamak mengumpamakan Pas seperti seorang bapa yang mahu melacurkan anaknya kepada UMNO.

“Sekarang, siapa sebenarnya sedang melakukan apa yang dahulu mereka hina? Adakah ketika Amanah bekerjasama dengan UMNO, ia dinamakan kebijaksanaan politik manakala ketika Pas dan PN mengambil pendekatan sama, tiba-tiba kami dilabel ‘Machiavelli’?” soalnya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Izham Hashim mengingatkan orang Melayu agar tidak terperdaya dengan kempen perpaduan Melayu-Islam UMNO dan Pas yang didakwanya sekadar helah untuk meraih kuasa politik.

Dalam kenyataan sama, Izham turut melabelkan kedua-dua parti berkenaan sebagai pengamal politik ‘Machiavelli’ dan menuduh mereka memperalatkan isu kaum serta agama demi kepentingan politik.

Sementara itu, Fadhli turut membangkitkan isu titah Sultan Selangor ketika pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang didakwa mendapat bantahan secara halus daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

“Siapa sebenarnya yang dilihat mempertikaikan titah Raja Melayu dalam dewan yang persidangannya sendiri dibuka dengan titah baginda? Bukankah titah Sultan Selangor kemudiannya menyebut dengan jelas nama pemimpin DAP yang diminta mempelajari semula Rukun Negara?

“Mengapa dalam hal ini Izham tidak pula lantang berbicara tentang prinsip dan penghormatan terhadap institusi diraja?”.

“Sebagai Pengerusi Amanah Selangor, janganlah terlalu sibuk mencari kuman di seberang laut sehingga gajah di depan mata sendiri pura-pura tidak nampak,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhli menasihatkan Izham supaya memanfaatkan tempoh sementara masih menjadi sebahagian daripada kerajaan di Selangor dan Putrajaya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Fadhli berkata, kegagalan menabur bakti dan tindakan yang didakwa menekan serta menindas rakyat boleh menyebabkan Amanah tidak meninggalkan jasa untuk dikenang apabila tidak lagi berada dalam kerajaan.

“Gunakanlah kesempatan yang masih berbaki untuk menabur bakti kepada rakyat supaya apabila suatu hari nanti terkeluar daripada kerajaan, sekurang-kurangnya ada jasa yang boleh dikenang.

“Malangnya, kalau jasa pun tidak seberapa, rakyat pula ditekan dan ditindas di sana sini, akhirnya nasib politik mungkin tidak ubah seperti kain buruk pelapik kaki yang basah di hadapan tandas. Dipijak ketika diperlukan, kemudian dilupakan tanpa sesiapa pun berasa kehilangan. Jangan sampai hanya itulah warisan yang ditinggalkan,” katanya.

Scroll to Top