Banjir Nepal: Angka korban meningkat kepada 332, lebih 800 masih hilang

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 332 orang maut dalam kejadian banjir yang membawa kemusnahan besar selepas Sungai Bhote Koshi melimpah di daerah Rasuwa, Nepal pada Rabu, lapor Kathmandu Post.

Lebih 800 yang lain, termasuk ratusan pelancong asing, masih belum ditemukan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan.

Jurucakap Polis Nepal, Abi Narayan Kafle mengesahkan angka korban terkini setakat jam 3.50 petang Khamis, dengan Chitwan merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 121 orang.

Ini diikuti Nawalparasi East dengan 74 kematian, Dhading dan Gorkha masing-masing 29, Nuwakot (28), Tanahun (19), Rasuwa (17) dan Nawalparasi West (15).

“Polis dan agensi keselamatan lain meneruskan operasi SAR di daerah terjejas banjir, selain memindahkan keluarga dari kawasan yang berisiko dilanda banjir susulan.

“Mereka turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan penduduk untuk mencari mangsa yang hilang serta membersihkan puing yang menghalang jalan,” lapor Kathmandu Post.

Menurut laporan terkini Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, sekurang-kurangnya 826 orang masih belum ditemukan, termasuk penduduk tempatan, anggota keselamatan serta pelancong domestik dan asing.

Mereka termasuk 44 anggota Tentera Nepal, 28 anggota Polis Nepal dan 13 anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal.

Seramai 644 lagi merupakan pelancong, terdiri daripada 517 warga asing dan 127 rakyat Nepal.

Sementara itu, ratusan orang berkumpul di Hospital Pendidikan Universiti Tribhuvan di Maharajgunj bagi mencari ahli keluarga yang hilang sejak banjir melanda sistem Sungai Bhotekoshi pada Rabu.

Pihak berkuasa membuka kaunter di hospital itu untuk merekodkan butiran individu yang hilang dan mempamerkan senarai mereka yang dimasukkan ke hospital berserta gambar mangsa yang terkorban bagi membantu keluarga mengesan saudara-mara mereka. – Bernama

Scroll to Top