Pahang tunggu laporan lengkap prestasi atlet di Sukma Selangor

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Kerajaan Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) akan mendapatkan laporan lengkap daripada semua persatuan sukan berdasarkan pencapaian keseluruhan atlet pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal, berkata laporan itu bagi menambah baik prestasi atlet yang bukan sahaja bertumpu kepada beberapa acara sahaja dalam meraih pingat.

“Kita akan menilai, memperbaiki segala kekurangan dan memperkukuh apa yang kita bina demi kecemerlangan serta kegemilangan sukan di Pahang.

“Memang kita berjaya menambah pungutan pingat emas di Selangor berbanding di Sukma Sarawak dua tahun lalu tetapi kita mahu pencapaian lebih baik di Sukma Kelantan nanti.

“Sebab itu laporan lengkap daripada semua persatuan sukan akan membantu, sekali gus diyakini atlet yang akan beraksi di Kelantan nanti akan memberi saingan dan meraih lebih banyak pingat emas buat kontinjen Pahang,” katanya.

Berdasarkan rekod Sukma Selangor, Pahang meraih 28 pingat emas, 19 perak dan 36 gangsa.

Pencapaian itu juga mengatasi 23 emas, 21 perak dan 32 gangsa di Sukma Sarawak dua tahun lalu.

Mengulas kejayaan Cheah Zen Hong yang dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Sukma Selangor 2026, Fadzli berbangga dengan prestasi yang dipersembahkan atlet menembak itu.

Katanya, pencapaian itu sudah pasti menjadi kebanggaan seluruh rakyat Pahang dan menyuntik motivasi kepada semua atlet negeri itu.

“Kejayaan luar biasa Zen Hong meraih sembilan pingat emas dan satu perak membuktikan kehebatan, konsistensi serta semangat juang tinggi di pentas Sukma.

“Syabas dan tahniah Zen Hong, teruskan mengharumkan nama Pahang di pentas yang lebih tinggi selepas ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top