Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) penggal lalu, termasuk dua Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), telah mula memulangkan baki peruntukan yang diterima sejak 30 Jun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata pejabatnya masih meneliti rekod peruntukan setiap ADUN terbabit bagi menentukan jumlah baki yang masih belum dipulangkan.
“Memang ada yang sudah pulangkan, tetapi mungkin tidak sepenuhnya seperti mana yang disalurkan. Mungkin mereka sudah gunakan untuk bantuan kepada rakyat dan sebagainya
“Rekod menunjukkan setakat ini, hanya bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sahaja yang telah memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima,” katanya memetik Sinar Harian.
Kredit Foto: BERNAMA
Ismail berkata demikian ketika mengulas sidang media barisan ADUN PH daripada pentadbiran terdahulu yang memohon kerajaan negeri mempertimbangkan arahan pemulangan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
Ia susulan kenyataan Ismail selepas Mesyuarat Exco pada Rabu yang mengarahkan ADUN terbabit memulangkan baki peruntukan berkenaan.
Setiap Exco sebelum ini diperuntukkan RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, manakala ADUN biasa menerima RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September.
Artikel lain: Macam mana kita nak pulangkan duit yang sudah diberikan kepada rakyat? -ADUN PH
Penyelaras DUN pula menerima RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.
Mengulas lanjut, Ismail yang juga ADUN Juasseh berkata jumlah peruntukan yang perlu dipulangkan setiap ADUN adalah berbeza, bergantung kepada baki yang masih ada berdasarkan rekod kerajaan negeri.
“Surat yang akan dihantar nanti tidak sama bagi setiap orang.
“Ada yang mungkin perlu pulangkan penuh dan ada yang kurang, semuanya bergantung kepada baki setiap DUN masing-masing berdasarkan rekod yang kita simpan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)
