Arsenal pasukan untuk ditewaskan

London: Jika ada sesuatu yang boleh dirumuskan daripada keputusan aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), ia menunjukkan juara bertahan Arsenal jelas menjadi pasukan yang perlu ditewaskan, manakala pencabar yang mahu menggugat mereka perlu segera memperkemaskan permainan masing-masing.

Manchester City, Liverpool dan Manchester United melalui permulaan sukar dengan tahap berbeza dan pastinya mahu memberikan sesuatu untuk difikirkan kepada Arsenal sebelum skuad kendalian Mikel Arteta berkunjung ke Aston Villa yang sedang bergelut, Isnin ini.

Walaupun City memulakan era pasca-Pep Guardiola dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Bournemouth di laman sendiri, persembahan mereka masih jauh daripada meyakinkan.

Skuad kendalian Enzo Maresca membuka aksi hujung minggu dengan kunjungan ke Crystal Palace pada malam Sabtu, satu perlawanan yang memihak kepada City sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

City tidak tewas dalam 11 perlawanan EPL terakhir di Selhurst Park, dengan mencatat lapan kemenangan dan tiga seri.

Mereka akan berdepan Palace yang masih menyesuaikan diri selepas pemergian jurulatih Oliver Glasner pada penghujung musim lalu.

City turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran pemain tengah baharu dari Maghribi, Ayyoub Bouaddi, yang menyertai kelab itu minggu ini daripada Lille.

Manchester United pula gagal memulakan musim dengan baik apabila tewas 0-2 kepada pasukan yang baru dinaikkan ke EPL, Hull City, keputusan yang menjadi tamparan realiti selepas musim panas penuh optimisme.

United pastinya mahu bangkit apabila melayan kunjungan satu lagi pasukan yang baru dinaikkan, Ipswich Town.

Liverpool memerlukan sepakan penalti pada masa kecederaan yang disempurnakan Dominik Szoboszlai ketika menentang Newcastle United bagi mengelak permulaan buruk dalam era kendalian Andoni Iraola dan kini memburu kemenangan pertama apabila menerima kunjungan Nottingham Forest dalam aksi tengah hari Sabtu.

“Memang benar kami tidak menang, kami seri 2-2. Anda tidak boleh mengubah perkara itu, tetapi saya merasakan kami melakukan banyak perkara positif dalam perlawanan pertama itu,” kata Iraola, yang berharap kelab itu dapat merealisasikan pembelian penyerang Perancis, Bradley Barcola.

Jika kemenangan mudah Arsenal 3-0 ke atas Coventry City di laman sendiri mengukuhkan status mereka sebagai pilihan untuk mempertahankan kejuaraan, Chelsea pula muncul sebagai pencabar berpotensi selepas kemenangan mengagumkan yang diterajui Cole Palmer ketika menewaskan Fulham.

Skuad kendalian pengurus baharu Xavi Alonso akan berdepan ujian sukar di laman sendiri menentang Brighton & Hove Albion yang membelasah Aston Villa 4-0 pada aksi pembukaan musim.

Villa, yang menamatkan musim lalu di tempat keempat dan menjuarai Liga Europa, boleh dikatakan menjadi antara topik paling hangat pada awal kempen baharu selepas skuad kendalian Unai Emery mengalami perubahan besar dalam tempoh singkat.

Hanya lima pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama ketika final Liga Europa menentang Freiburg pada malam bersejarah di Istanbul, Mei lalu, turut beraksi dalam kesebelasan utama ketika menentang Brighton.

Emery hanya mampu berharap pemain baharu seperti Johan Manzambi dan Alejandro Garnacho dapat membantu mengubah nasib pasukannya, walaupun kunjungan Arsenal bukanlah sesuatu yang memberikan banyak keyakinan.

Tottenham Hotspur yang berbelanja besar dibelasah 0-3 oleh Brentford pada aksi pembukaan musim, namun dengan pemain baharu Savio dan Omar Marmoush kembali bergandingan selepas menyertai kelab daripada Manchester City, mereka dijangka bangkit apabila menerima kunjungan Newcastle.

Selepas menerima tamparan hebat ketika kembali ke liga utama menentang Arsenal, Coventry akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan EPL pertama mereka dalam tempoh suku abad apabila menyambut satu lagi pasukan yang baru dinaikkan, Hull.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top