Tujuh kategori baharu rancakkan Anugerah Melodi Terhangat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Acara mengiktiraf selebriti dan karya yang menyerlah berdasarkan populariti serta pengaruh masing-masing iaitu Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026, kembali ‘menghangatkan’ industri seni tempatan.

Menariknya, edisi kali ini memperkenalkan tujuh kategori baharu, menjadikan keseluruhan 16 anugerah dipertandingkan.

Penambahan itu dibuat sebagai usaha memperluas ruang pengiktirafan terhadap bakat dan karya dalam landskap hiburan semasa.

Antara kategori baharu diperkenalkan ialah Lagu Terhangat, Drama Sangat Terhangat, Direktor & Filem Terhangat, Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat.

Sembilan kategori sedia ada yang turut dipertandingkan pula ialah Fresh Rising Star Terhangat Darlie, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Viral Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat dan Tonton Original Terhangat.

Kesemua kategori serta barisan calon AMT 2026 diumumkan menerusi pelancaran digital ‘Malam Start Menekan!’ yang disiarkan secara langsung di TikTok Melodi Terhangat dan TV3, malam ini.

Pengumuman berkenaan sekali gus membuka tirai perjalanan AMT 2026 sebelum kuasa memilih diserahkan sepenuhnya kepada peminat menerusi undian digital yang dibuka selama enam minggu, bermula 3 September hingga 8 Oktober ini melalui platform Tonton.

Setiap akaun berdaftar menerima lima undian, manakala pelanggan Tonton yang melanggan pelan tiga bulan dan 12 bulan masing-masing bakal menerima 2,500 dan 10,000 undian.

Menerusi 16 kategori dipertandingkan, AMT 2026 dijangka menyaksikan persaingan lebih sengit apabila peminat diberi kuasa menentukan calon yang layak membawa pulang trofi bagi setiap kategori.

AMT 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton pada 18 Oktober ini, jam 9 malam.

Seiring tema ‘Power’, penganjuran kali ini berteraskan tiga elemen utama iaitu ‘Star Power’ yang menonjolkan keunikan setiap selebriti, ‘Fan Power’ sebagai penentu kemenangan dan ‘Melodi’s Power’ yang berperanan sebagai platform menggerakkan momentum arena hiburan tempatan.

Dalam pada itu, AMT 2026 turut mendapat sokongan CUCKOO sebagai Penaja Terhangat, Darlie sebagai Penaja Bersama, Mentos sebagai Rakan Penaja dan Grab sebagai Rakan E-Hailing.

Buat julung kali, 8TV turut tampil sebagai Rakan Media dan bekerjasama dengan TV3 dalam menjayakan AMT 2026 serta CUCKOOTOPIA – Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 Dihangatkan Oleh AMT 2026 yang bakal menyusul selepas acara anugerah.

Kerjasama penganjuran turut disokong Hot FM sebagai Rakan Radio, selain XTRA dan OhBulan! sebagai Rakan Digital.

Semesti barisan artis popular tanah air antaranya Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Fattah Amin berada dalam senarai pencalonan pilihan.

Tidak ketinggalan penyanyi, Amir Masdi, Hael Husaini selain kumpulan yang baru dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu ke-40 yang lalu, K.O.I turut berada dalam senarai 10 teratas dalam beberapa kategori dipertandingkan.

Tidak terkecuali nama-nama artis pilihan seperti Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kumpulan Dolla dan ramai lagi. Begitu juga beberapa bintang baharu yang menyinar dalam bidang seni masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top