JBPM siap gerak pasukan STORM ke Nepal – Ketua Pengarah

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) ke Nepal pada bila-bila masa, termasuk dengan notis singkat, sekiranya menerima arahan kerajaan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, penghantaran pasukan itu bagaimanapun tertakluk kepada permohonan kerajaan Nepal serta arahan dan penyelarasan Kementerian Luar melalui Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kita telah menyediakan pasukan terbaik, khususnya daripada STORM dengan kemahiran yang diperlukan serta dokumentasi awal bagi membolehkan mereka digerakkan secepat mungkin.

“Jika arahan diterima walaupun dengan notis singkat, kita bersedia untuk bergerak,” katanya kepada media ketika ditemui di program raptai Hari Kebangsaan 2026 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, persediaan awal itu dibuat berdasarkan pengalaman JBPM menyertai misi mencari dan menyelamat di Turkiye sebelum ini, yang menuntut anggota serta dokumen perjalanan disiapkan lebih awal.

Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata, JBPM masih gagal menghubungi sembilan peserta trekking, termasuk dua pegawai jabatan itu, serta seorang ejen tempatan di Nepal setakat pagi ini.

“Kita masih menaruh harapan tinggi supaya talian komunikasi di sana dapat dipulihkan dan sekurang-kurangnya kita memperoleh petunjuk mengenai lokasi serta keadaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan peserta itu adalah program persendirian dan bukan dianjurkan atau dikelolakan JBPM.

Anggota yang menyertai perjalanan itu merupakan pendaki berpengalaman dan sebahagian daripada pasukan teras yang membantu persediaan percubaan pendakian Gunung Everest oleh seorang pendaki JBPM tahun lepas, katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, perjalanan kali ini lebih bersifat trekking dengan sebahagian besar laluan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan hanya satu hingga dua jam terakhir melibatkan perjalanan kaki.

Nor Hisham berkata, kumpulan tersebut berlepas pada 24 Ogos dan dijangka memasuki kawasan sempadan Tibet pada 26 Ogos.

Beliau berkata, komunikasi terakhir yang diterima adalah ketika mereka bersarapan pada pagi berkenaan, namun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan itu masih berada di tempat penginapan atau telah memulakan perjalanan.

“Berdasarkan gambar dan lokasi terakhir, mereka dipercayai telah berada di kawasan berkenaan. Jika mereka mula bergerak pada kira-kira 8.30 pagi, kita berharap mereka sempat menuju ke trek yang lebih tinggi. Bagaimanapun, perkara itu masih belum dapat disahkan,” katanya.

Nor Hisham berkata, JBPM turut berhubung rapat dengan keluarga pegawai terbabit yang kini menggunakan pelbagai saluran dan kenalan di Nepal untuk mendapatkan perkembangan terkini.

“Kita doakan yang terbaik dan berharap semua peserta berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Kejadian banjir dan tanah runtuh berlaku di sempadan Nepal, menjejaskan lintasan sempadan Pelabuhan Gyirong di Daerah Gyirong, China pada pagi Rabu.

Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal meningkat kepada 389 orang manakala 466 orang cedera. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top