Pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa bersuara secara bebas – PM

Bukit Mertajam: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa bersuara secara bebas serta mengembangkan daya cipta, kreativiti dan pemikiran kritis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mahasiswa perlu dididik untuk berani mengemukakan pandangan dan membincangkan sesuatu isu secara terbuka, termasuk menerima hakikat bahawa pandangan mereka mungkin tidak sentiasa benar.

“Pada 1971, kerajaan kenakan sekatan kebebasan mahasiswa tetapi saya katakan anak-anak sudah 18 tahun. Dia boleh mengundi, mana sekatnya.

“Mengapa saya hapuskan akta universiti…untuk memberikan ruang kepada anak-anak untuk bicara secara bebas… kerana saya nak didik anak-anak dengan daya cipta, kreativiti, dengan penilaian dan pandangan kritis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar yang berminat menceburi bidang politik pada Sesi Temu Anwar Bersama Pelajar bersempena dengan Program Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top