Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 ditetapkan 2 petang

Putrajaya: Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 ditetapkan pada 2 petang Ahad ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), menurut Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menurut kenyataan KPN hari ini, perubahan waktu berkenaan sebagai langkah penyesuaian dengan mengambil kira perkembangan semasa, khususnya bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan keselesaan tetamu serta orang ramai, di samping menjamin kelancaran pelaksanaan majlis.

“Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 adalah wadah penting untuk menghayati aspirasi dan harapan kepimpinan Kerajaan MADANI dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan, memperkukuh patriotisme serta membina rasa cinta dan tanggungjawab terhadap negara.

“Seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir beramai-ramai untuk bersama-sama menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan serta menyuburkan nilai saling memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian demi pembinaan sebuah negara bangsa yang terus maju, harmoni dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Kementerian Komunikasi sebelum ini memaklumkan bahawa majlis amanat yang akan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Ogos, dipindahkan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke PICC susulan keadaan jerebu ketika ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan berjerebu dijangka berlaku di Sabah mulai esok, manakala kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 31 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top