Soalan
Saya bekerja syif malam dan kadangkala tidak sempat untuk menunaikan solat Isyak pada awal waktu. Bolehkah saya melewatkan solat Isyak sehingga tengah malam?
Jawapan
Apabila masuk waktu solat fardu, maka umat Islam yang mukalaf diwajibkan untuk menunaikannya selagi mana belum sampai tamat waktu solat tersebut.
Ini kerana ia dikategorikan sebagai wajib yang diluaskan waktunya. Cumanya lebih afdal untuk menunaikan solat fardu pada awal waktu iaitu selepas azan dikumandangkan.
Bagi solat Subuh, Zuhur, Asar dan Maghrib, keempat-empat solat tersebut lebih afdal dilaksanakan pada awal waktu. Berbeza dengan Isyak, ia mempunyai dua waktu afdal iaitu selepas azan dikumandangkan dan pada tengah malam.
Ini kerana terdapat beberapa hadis yang menjelaskan Nabi Muhammad SAW solat Isyak pada tengah malam.
Maka ulama menyimpulkan bahawa sekiranya tidak ada urusan kerja atau tiada keperluan lain, maka solatlah Isyak pada awal waktunya.
Jika ada urusan lain, maka solat Isyak pada tengah malam juga dikira sebagai waktu afdal untuk menunaikannya kerana ia juga diamalkan oleh Baginda SAW.