ALOR SETAR – Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang diminta tampil memberikan panduan kepada rakyat berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mengajak orang ramai mendoakan keburukan terhadap individu tertentu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia bukan sekadar pertikaian politik berkaitan isu perjudian, sebaliknya menyentuh soal adab dan akhlak dalam kalangan umat Islam.
Menurutnya, dirinya tidak mahu menentukan hukum bagi pihak Mufti, namun institusi agama perlu tampil memberikan penjelasan supaya masyarakat tidak keliru mengenai batas ketika berbeza pandangan.
“Saya tidak mahu menentukan hukum bagi pihak Mufti. Tetapi justeru kerana ini menyentuh soal agama dan akhlak, Mufti Kedah tidak wajar berdiam diri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berhubung isu lesen premis perjudian di Kedah selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkaitan perkara itu.
Dalam ucapannya, beliau didakwa menggunakan perkataan celaka dan pecah perut sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk parti lawan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Jelas Mahfuz, antara perkara yang perlu dijelaskan termasuk sama ada agama Islam membenarkan seorang pemimpin menyeru orang ramai mendoakan keburukan atau kemudaratan terhadap individu yang tidak dipersetujuinya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada ungkapan mendoakan seseorang pecah perut selari dengan akhlak Islam serta adab ketika berbeza pendapat.
Menurutnya, penggunaan bahasa menghina terhadap pemimpin yang mempunyai pandangan berbeza juga wajar diberi perhatian supaya masyarakat khususnya generasi muda tidak menganggap perbuatan tersebut sebagai budaya politik yang boleh diterima.
“Kita perlu menolak judi tanpa mendoakan orang pecah perut. Kita boleh menentang dasar tanpa memaki manusia. Kita boleh menang atau kalah di mahkamah tanpa kehilangan akhlak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, pertikaian berkaitan undang-undang sepatutnya diserahkan kepada mahkamah dan saluran Perlembagaan, bukannya sehingga perbezaan politik berubah menjadi kebencian peribadi.
Beliau turut mengingatkan bahawa Kedah terkenal dengan tradisi ulama, institusi pondok dan ilmu agama, justeru aspek adab dalam perbezaan pandangan perlu dipelihara.
Mahfuz berharap Mufti Kedah tidak melihat perkara itu semata-mata sebagai pertikaian politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Pas, sebaliknya memberikan panduan dari sudut agama demi kepentingan masyarakat.
Katanya, persoalan lebih besar yang perlu difikirkan ialah budaya politik yang mahu diwariskan
“Mufti Kedah perlu bersuara bukan untuk membela Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi untuk membela akhlak Islam,” katanya lagi.