SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan cadangan supaya alumni menyumbang antara RM10 pada setiap bulan atau RM100 setahun kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ini kerana universiti itu sudah pun melahirkan lebih sejuta alumni dan mereka wajar menyumbang dana yang mampu menjangkau RM100 juta setahun bagi kegunaan pembangunan universiti terbesar itu.
Baginda bertitah, sumbangan alumni sangat signifikan sebagai tanda terima serta penghargaan ke atas segala jasa dan bakti institusi itu sepanjang mereka menimba ilmu.
“Di sini, beta ingin mencadangkan agar satu sistem dibangunkan supaya setiap alumni boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun kepada UiTM.
“Beta percaya nilai RM10 itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM.
”Beta harap dapat digunakan untuk membantu mahasiswa baharu dan lama yang berdepan dengan cabaran kemiskinan dan kesukaran meneruskan pembiayaan pendidikan. Di sinilah slogan ‘UiTM Dihatiku’ yang dilaungkan dapat dinyatakan,” titah baginda di sini, hari ini.
Baginda berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Titah Diraja Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM yang bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara.
Turut berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ke majlis yang juga dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Dalam titah sama, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan graduan dan alumni UiTM supaya menjaga nama baik universiti, pensyarah serta ibu bapa menerusi sebarang bentuk jasa dan sumbangan.
“Beta ingin mengingatkan kejayaan masa lalu tidak boleh menjadi alasan untuk kita berasa selesa dengan pencapaian hari ini.
“Paling penting, para graduan tidak memburuk-burukkan pentadbiran dan kualiti pendidikan UiTM. Nasihat beta, peliharalah kredibiliti serta maruah universiti dengan tidak terlibat dalam gejala terkutuk seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” tegas baginda. – UTUSAN
