KUALA LUMPUR – UMNO akan memanjangkan jemputan rasmi kepada pucuk pimpinan tertinggi Pas untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 12 September depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan selain membalas jemputan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas di Kelantan, minggu depan.
“Sempena PAU yang akan diadakan pada 9 hingga 12 September akan datang, tiga program utama akan diadakan sehari awal iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.
“UMNO turut bersetuju untuk memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi Pas sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, di Menara Dato’ Onn, pada Jumaat.
Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor menjemput beberapa pemimpin UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadiri Muktamar kali ke-72 pada 2 hingga 5 September ini.
Rentetan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut mengesahkan akan menghadiri Muktamar Pemuda Pas yang dijadual berlangsung di Kota Bharu pada 3 September ini.
Sementara itu Asyraf Wajdi turut memaklumkan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dilantik sebagai ahli MKT berkuat kuasa hari ini.
Majlis angkat sumpah di hadapan Presiden dan ahli MKT dilakukan sebelum mesyuarat bermula.