Ibu tunggal cari rezeki lipat baju sambil jaga anak hidap hidrosefalus

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Hai orang Melaka, ada yang mahu menggunakan perkhidmatan melipat baju di sekitar Melaka? Saya seorang suri rumah yang mahu mencari pendapatan untuk dua anak kesayangan.”

Itu hantaran menyentuh hati yang dimuat naik Nur Asyikin Jaafar, 28, di Threads bagi mempromosikan perkhidmatan melipat pakaian untuk menyarakeluarga.

Nur Asyikin yang juga ibu tunggal berkata, perkhidmatan itu ditawarkan sejak awal tahun ini bagi menyara keluarga dan menampung kos rawatan anak keduanya, Anggun, 2, yang menghidap hidrosefalus, iaitu lebihan cecair di dalam otak sejak masih dalam kandungan.

Katanya, dia tidak dapat keluar bekerja kerana Anggun memerlukan perhatiannya sepanjang masa.

“Jadi, untuk meneruskan kehidupan, saya memilih mengambil upah melipat baju kerana kerja ini boleh dilakukan dari rumah sambil menjaga anak yang sakit.

“Dengan bayaran RM3.90 bagi setiap kilogram pakaian, perkhidmatan ini menjadi sumber pendapatan utama untuk menampung kehidupan kami,” katanya.

Menurutnya, setiap hari dia mampu menyiapkan sehingga tiga bakul pakaian, bergantung kepada keadaan Anggun.

“Ada pelanggan meminta saya mengambil dan menghantar pakaian, dan ada yang memilih menghantarnya sendiri ke rumah,” katanya.

Katanya, cabaran terbesar adalah apabila Anggun menangis sepanjang hari dan sering berjaga pada waktu malam ketika dia perlu menyiapkan pakaian pelanggan.

“Jika menerima tempahan, saya tetap menguatkan semangat untuk menyiapkannya walaupun perlu bangun seawal 4 pagi.

“Anggun akan berada di sebelah ketika saya melipat baju dan pada masa sama, saya akan memujuknya jika dia menangis,” katanya.

Nur Asyikin mengakui sambutan diterima sejak mula menawarkan perkhidmatan itu masih kurang memberangsangkan.

“Ada kalanya hanya seorang atau dua pelanggan menggunakan perkhidmatan saya dalam tempoh sebulan, malah pernah langsung tidak menerima tempahan.

“Setiap bulan saya memerlukan sekurang-kurangnya RM570 untuk menyediakan keperluan anak termasuk tiga beg lampin pakai buang, susu, ubat-ubatan dan keperluan persekolahan anak,” katanya.

Nur Asyikin berkata, kebanyakan warga media sosial khususnya pengguna TikTok dan Threads memberikan maklum balas positif, namun ada juga yang mempersoalkan keadaan Anggun kerana dikatakan tidak kelihatan seperti kanak-kanak sakit.

“Sebagai ibu, sudah tentu saya terasa. Jika anak saya tidak sakit, saya tidak akan merayu meminta orang menghantar baju untuk dilipat bagi membolehkan saya mencari rezeki.

“Saya menguruskan semuanya termasuk rawatan anak tanpa bantuan sesiapa. Saya akan terus berusaha kerana mahu melihat Anggun boleh duduk dan bermain seperti kanak-kanak lain seusianya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 169963131470 atas nama Nur Asyikin Jaafar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top