hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pemandu bas persiaran yang terbabit kemalangan dengan enam kenderaan lain di susur Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan di sini, hari ini, didapati positif dadah.
Kejadian pada 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an cedera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap pemandu bas berusia 40-an itu mendapati dia positif metamfetamin.
Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati lelaki terbabit mempunyai 29 rekod kesalahan lampau dan akan dibawa ke mahkamah untuk direman, esok.
“Pemandu berkenaan akan di bawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi permohonan tahanan reman, esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shamsudin berkata, terdahulu pihaknya terkesan video tular di media sosial yang memaparkan kemalangan tujuh kenderaan itu.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas dipandu dari Shah Alam menghala ke Petaling Jaya hilang kawalan sebelum melanggar dua kenderaan sehingga turut menyebabkan pelanggaran dengan empat kenderaan lain.
“Kejadian menyebabkan seorang lelaki cedera dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
“Ketika kejadian bas berkenaan tiada penumpang,” katanya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya diingatkan mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kemalangan dan polis tidak berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi peraturan dan melanggar undang-undang.
Saksi yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki cedera akibat tersepit sejurus kereta dipandu terbabit kemalangan dengan bas persiaran dan kereta lain di Jalan Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
