Kuala Lumpur: Konsert Biru Mata Hitamku yang menampilkan empat legenda rock iaitu JoBranko, Muss, Eddie dan Black bakal menggegarkan Mega Star Arena, Bukit Bintang dengan persembahan tanpa henti (non stop).
JoBranko selaku gitaris berkata, konsep konsert pada 5 September depan agak berbeza apabila mereka memilih untuk menyajikan persembahan yang padat untuk tempoh lebih dua jam demi kepuasan peminat setia.
“Tiada artis jemputan, tiada muzik ulangan, tiada medley, muzik kami bersambung tanpa rehat.
“Konsert kali ini formatnya memang saya tukar sikit, tak ada membuang masa. Maksudnya dari mula sampai habis, intinya padat. Saya tak nak ada ‘drag’,” katanya pada sesi latihan Konsert Biru Mata Hitamku di United Studio, Setapak, di sini, petang tadi.
Berbaki lebih kurang seminggu, JoBranko berkongsi mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghiburkan peminat yang mengikuti perjalanan seni empat sekawan itu.
“Setakat ini kita hampir 100 peratus bersedia. Cuma sikit lagi untuk kita tetapkan durasi. Kita ada lagi beberapa hari untuk praktis, tapi rasa tak ada masalah bab persediaan, insya-Allah semua okey,” katanya.
Bagaimanapun, JoBranko mengakui tidak mudah mementaskan konsert yang memberi penghormatan terhadap era kegemilangan Biru Mata Hitamku itu kerana tenaga mereka tidak sama seperti ketika era album itu diterbitkan, tiga dekad lalu.
“Mencabar dari segi teknikal. Macam saya, nak main bahagian solo seperti yang lama dulu, saya rasa susah. Jadi kena praktis lebih sikit, lagi pula nak bagi ‘muscle memory’ itu sama macam 30 tahun lalu.
“Nak ‘recall’ balik bukan mudah. Dalam tujuh hingga lapan hari jugalah kita nak ‘recall’ balik semua lagu, supaya kita dapat kembali ke 30 tahun dulu.
“Saya juga kena rancang di bahagian mana Muss, Black dan Eddie nak rehat. Iyalah masa kita buat album itu dulu kita baru 30-an, sekarang di ‘airport’ pun kita ada laluan khas,” katanya.
Katanya, mereka hanya mahu berseronok sambil menghiburkan peminat kerana tiada apa lagi yang mahu dibuktikan sebagai pemuzik.
“Kita tak ada nak tunjuk apa-apa. Kita nak raikan (usia) 30 tahun album ini dan kita nak orang ramai berseronok dengan ‘beauty’ konsert rock ini,” katanya.
Pada sesi latihan, Muss (vokal), JoBranko (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram), sempat mendendangkan lagu Enigma, Nasib Kita dan Bukan Kerana Matahari.
Konsert yang menghidupkan semula legasi album Biru Mata Hitamku itu akan mengimbau era 1996 hingga 2000 yang dianggap antara fasa paling penting dalam perjalanan muzik mereka apabila Muss bersama Wings berjaya menghasilkan enam album yang kekal menjadi rujukan peminat muzik rock hingga hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
