Anak abadikan jasa bapa wira negara

Setiap kali bulan Ogos menjelang, Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh negara, mengingatkan kita bahawa kemerdekaan yang dikecapi hari ini lahir daripada keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka yang pernah serta sedang berkhidmat demi mempertahankan keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah air.

Sempena Bulan Kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama mengenang jasa mereka yang sentiasa mengutamakan tugas mengatasi kepentingan diri. Ramai dalam kalangan mereka tidak pernah mengharapkan nama dijulang atau jasa dikenang. Mereka sekadar melaksanakan amanah yang dipikul dengan penuh integriti, disiplin dan keberanian. Namun, tanpa pengorbanan mereka, sejarah Malaysia mungkin tidak akan terbentuk seperti yang kita kenali hari ini. Berkat pengorbanan merekalah Malaysia terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran hingga ke hari ini.

Masih banyak kisah keberanian yang belum pernah tercatat dalam buku teks atau menjadi tajuk utama berita. Kisah inilah yang wajar terus dipelihara, bukan sekadar sebagai rekod sejarah, tetapi sebagai sumber inspirasi agar generasi akan datang memahami bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini dibina atas pengorbanan insan-insan yang sanggup mendahulukan tugas daripada kepentingan diri.

Sebagai anak kepada Allahyarham Sher Mohamed Allah Baksh, saya berasa bertanggungjawab untuk memastikan kisah perjuangan beliau tidak luput ditelan zaman. Atas rasa tanggungjawab itulah lahirnya novel grafik KISMET. Bagi saya, karya ini bukan sekadar sebuah penerbitan, tetapi satu penghormatan kepada nilai integriti, keberanian dan semangat pengorbanan yang menjadi pegangan mereka yang berkhidmat demi negara. Lebih penting, ia adalah usaha untuk merakam dan memelihara satu lembaran penting dalam sejarah kepolisan Malaysia agar terus menjadi rujukan dan inspirasi kepada generasi akan datang.

KISMET merakamkan perjalanan luar biasa Allahyarham sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula pada tahun 1934 hingga persaraannya pada tahun 1969. Tempoh itu merangkumi beberapa episod paling penting dalam sejarah negara, termasuk era pentadbiran British, pendudukan Jepun, darurat Malaya serta tahun-tahun awal pascakemerdekaan.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarham sentiasa berpegang teguh kepada amanah yang dipikul. Beliau menjalankan tugas dengan penuh disiplin, keberanian dan integriti tanpa pernah mengabaikan tanggungjawab atau prinsip yang diyakininya. Dedikasi beliau dalam melindungi masyarakat serta menegakkan undang-undang menjadikan beliau seorang pegawai polis yang dihormati oleh rakan setugas dan masyarakat.

Hakikatnya, kisah Allahyarham Sher Mohamed bukanlah kisah seorang individu semata-mata. Ia mencerminkan ribuan kisah anggota PDRM yang mengabdikan diri kepada negara tanpa pernah mengharapkan sanjungan. Mereka mempertaruhkan keselamatan diri, mengorbankan masa bersama keluarga dan berdepan pelbagai cabaran demi memastikan keamanan serta kedaulatan negara terus terpelihara. Pengorbanan seperti inilah yang menjadi tunjang kepada keamanan yang kita nikmati hari ini.

Keinginan untuk memastikan jasa dan pengorbanan ini terus dikenang menjadi pendorong utama kepada penerbitan karya tersebut. Saya percaya sejarah tidak seharusnya hanya tersimpan di dalam arkib atau buku akademik. Sejarah perlu dihidupkan melalui penceritaan yang mampu menyentuh hati masyarakat, khususnya generasi muda. Pendekatan novel grafik dipilih kerana mampu menyampaikan kisah benar dalam bentuk yang lebih dekat, menarik dan mudah difahami tanpa menjejaskan nilai sejarahnya.

Edisi berwarna bahasa Inggeris KISMET diterbitkan pada 2024 dan dipersembahkan kepada negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun sememangnya mengenali Allahyarham Sher Mohamed Allah Baksh kerana pada 2008 sempena sambutan ulang tahun ke-50 Kemerdekaan Malaysia, beliau melancarkan buku meja kopi saya yang turut berjudul KISMET yang merakamkan kehidupan, jasa dan pengorbanan Allahyarham sepanjang perkhidmatannya kepada negara.

Pada 2026, edisi hitam & putih bahasa Melayu pula diterbitkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menghayati kisah itu dalam bahasa kebangsaan. Semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), anak saya, Fazrul, menyampaikan sendiri senaskhah novel grafik KISMET kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Permintaan tulus beliau agar Perdana Menteri membaca kisah perjuangan datuknya telah menarik perhatian beliau dan menjadi detik yang amat bermakna buat keluarga kami.

Alhamdulillah, sambutan terhadap karya ini amat menggalakkan. Ramai pembaca berkongsi bahawa buku ini membuka ruang untuk mereka memahami sejarah negara daripada perspektif yang berbeza, sekali gus menghargai dengan lebih mendalam pengorbanan anggota polis dan pasukan keselamatan terdahulu. Lebih membanggakan apabila semakin ramai pelajar dan golongan muda menunjukkan minat terhadap kisah ini serta nilai integriti, amanah, disiplin dan patriotisme yang diketengahkannya.

Sekiranya suatu hari nanti kisah ini berpeluang diadaptasikan ke layar perak atau televisyen, saya berharap ia dapat menjadi medium untuk memperkenalkan sejarah perjuangan anggota polis negara kepada khalayak yang lebih luas, khususnya generasi muda. Medium audiovisual mempunyai keupayaan tersendiri untuk menghidupkan sejarah, menyentuh emosi serta menyemai semangat cintakan negara melalui kisah-kisah benar yang sarat dengan nilai keberanian, integriti dan pengorbanan.

Saya sedar merealisasikan hasrat tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Sebagai penulis dan bukannya pembikin filem atau penerbit eksekutif, mendapatkan sokongan daripada studio produksi serta rakan industri adalah satu cabaran yang besar. Namun, saya tetap percaya kisah yang berteraskan fakta, integriti, keberanian dan pengorbanan wajar diketengahkan agar terus menjadi sebahagian daripada ingatan rakyat Malaysia.

Lebih membanggakan, jasa Allahyarham Sher Mohamed Allah Baksh turut diabadikan di Muzium Polis Diraja Malaysia. Pengiktirafan itu bukan sekadar penghormatan kepada seorang pegawai polis, malah menjadi simbol penghargaan terhadap ribuan anggota Polis Diraja Malaysia yang telah menabur bakti sepanjang sejarah negara. Legasi mereka mengingatkan kita bahawa keamanan yang dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi dibina atas pengorbanan mereka yang sanggup mendahulukan tugas daripada kepentingan diri.

Hanya dengan menghargai sejarah, kita mampu membina masa depan yang lebih kukuh, bersatu dan bermaruah.

Penulis seorang pengarang bebas

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top