KATHMANDU: Runtuhan glasier besar-besaran dan tanah runtuh dipercayai menjadi punca banjir kilat dahsyat yang melanda sempadan Nepal-China pada Rabu, menurut siasatan awal sekumpulan saintis.
Bencana itu menenggelamkan bandar, jalan raya dan jambatan, selain meragut banyak nyawa apabila arus deras membawa bersama ais dan batuan merempuh kawasan pergunungan.
Perbandingan imej satelit sebelum dan selepas kejadian menunjukkan sebahagian besar glasier terpisah dari kawasan tinggi sebuah gunung sebelum menjunam ke sungai di bawahnya.
Analisis CNN mendapati bongkah glasier itu jatuh dari ketinggian kira-kira 2,134 meter, manakala bahagian glasier yang runtuh dianggarkan selebar kira-kira 610 meter.
Para saintis percaya tanah runtuh mungkin berlaku pada masa sama, menghasilkan aliran deras batuan dan ais yang meluncur menuruni cerun gunung sebelum memasuki Sungai Lhende Khola.
Sungai itu merupakan anak sungai kepada Sungai Bhote Koshi yang mengalir dari China ke Nepal, termasuk melalui gaung-gaung sempit dan dalam di kawasan pergunungan.
Ahli geologi dari Universiti Calgary, Kanada, Daniel Shugar, berkata, kekuatan runtuhan itu menyebabkan ais mencair ketika bergerak, selain membawa bersama mendapan yang dipenuhi air.
Keadaan itu dipercayai menjelaskan jumlah air luar biasa yang dilihat mengalir deras melalui lembah gunung sempit dan ‘menghayutkan’ semua yang berada di laluannya.
Saintis Kanan di Institut Sains Planet, Jeffrey Kargel berkata, gelombang banjir terdiri daripada air, ais yang hancur dan batuan bergerak sejauh 22 kilometer pertama pada kelajuan purata 193 kilometer sejam (km/j).
Pada kelajuan itu, gelombang banjir berkenaan mampu menempuh jarak hampir 22 kilometer dalam hanya enam minit 50 saat, menjadikannya amat sukar untuk dielakkan oleh penduduk di kawasan hilir.
Sementara itu, Profesor meteorologi Universiti Reading, Britain, Liz Stephens berkata, banjir kilat di kawasan pergunungan tinggi seperti Nepal dan Tibet tidak semestinya berpunca daripada hujan lebat.
Menurutnya, bencana sedemikian juga boleh berlaku akibat rangkaian kejadian kompleks termasuk tanah runtuh dan runtuhan salji, sekali gus menyukarkan usaha memberikan amaran awal kepada penduduk.
Para saintis turut memberi perhatian kepada perubahan iklim sebagai faktor yang mungkin meningkatkan risiko kejadian seperti itu, dengan glasier di rantau Himalaya semakin mencair dan tidak stabil akibat peningkatan suhu.
Kajian terbaharu mendapati kadar kehilangan ais daripada glasier di seluruh kawasan Hindu Kush Himalaya, termasuk Nepal, meningkat dua kali ganda sejak 2000, sekali gus meningkatkan risiko kepada hampir dua juta penduduk yang tinggal di kawasan hilir glasier.
Profesor hidrologi di Imperial College London, Wouter Buytaert berkata, walaupun punca tepat masih dikaji, kejadian berkenaan mempunyai ciri yang konsisten dengan bencana yang dicetuskan oleh perubahan iklim.
“Pemanasan global mengecutkan glasier, menjadikannya lebih berkemungkinan untuk pecah,” katanya.
