Terima kasih Cikgu Sam


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas guru bahasa Inggeris sekolah luar bandar, Samuel Isaiah mahu setiap rakyat di negara ini mendapat peluang pendidikan yang sama rata di mana saja mereka berada kerana baginya itulah erti kemerdekaan yang sebenar.

Semangat itulah yang membawa Samuel, 39, atau mesra disapa Cikgu Sam berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah, Pahang bagi menjalankan tugas mendidik anak komuniti Orang Asli selama lapan tahun sebelum berhenti dari kerjaya guru pada 2018.

Kesungguhan dan inisiatifnya membantu anak Orang Asli dengan memberi peluang kepada mereka menggunakan teknologi dan merasai pembelajaran bahasa Inggeris setaraf dengan sekolah bandar melayakannya terpilih dalam kelompok 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Pengiktirafan itu turut mendapat perhatian mantan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa bangga atas dedikasi anak kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Dua tahun kemudian, Samuel melakar sejarah dengan menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Pendidik Berprestij Dunia 2022 anjuran Turkish Radio and Television (TRT) atas jasanya memartabatkan kualiti pendidikan negara.

Tambah manis, beliau turut menerima Anugerah Belia Diraja dan Anugerah Harapan Merdeka 2022 hasil inisiatifnya memperkenalkan inovasi pembelajaran berasaskan projek kepada murid Orang Asli.

“Pencapaian itu adalah kenangan terindah yang tidak akan dapat saya lupakan sehingga akhir hayat malah menyemarakkan semangat patriotik dalam diri saya.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila pengiktirafan itu diberikan ketika tempoh pandemik Covid-19. Bagi saya, anugerah diterima itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi datang dengan tanggungjawab dan amanah yang mendorong saya untuk terus menabur bakti dalam dunia pendidikan. Ia kerana saya tidak mahu usaha membantu anak luar bandar terhenti kerana walaupun tidak bergelar guru,” katanya kepada Harian Metro.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Samuel berazam terus menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui pendidikan.

Beliau tidak berseorangan sebaliknya dibantu 22 ahli bagi menggerakkan tiga teras utama pertubuhan iaitu teknologi pendidikan, kepimpinan dan inisiatif anugerah guru iaitu Malaysia Teacher Prize bagi menghargai pendidik sebagai wira negara.

“Setakat ini, kita sudah menjalin kerjasama dengan 7,000 sekolah dan 66,000 guru di seluruh negara. Saya bekerjasama rapat juga dengan pembuat dasar kerana mahu mengetengahkan idea terbaik daripada Malaysia terutama dalam bidang pendidikan ke peringkat global,” katanya.

Graduan Sarjana Dasar Pendidikan lulusan sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS) itu berkata, ke mana saja kakinya melangkah, Malaysia sentiasa dekat di hatinya.

Baginya, kemerdekaan dicapai hasil perjuangan pemimpin dan pejuang terdahulu membolehkan rakyat pelbagai kaum, agama dan etnik termasuk Orang Asli di negara ini hidup dalam suasana harmoni.

“Kemerdekaan juga memberi rakyat negara ini peluang termasuk saya untuk mengajar murid di kawasan pedalaman.

“Mereka (anak Orang Asli) mengajar saya erti sebenar perjuangan seorang guru.

“Sehingga kini saya masih ingat layanan baik dan penghargaan diterima malah mereka menjadikan saya sebahagian daripada komuniti,” katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Samuel berharap semua rakyat menghargai nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi hari ini.

Menurut Samuel, setiap rakyat di negara ini termasuk guru perlu memainkan peranan dengan menyumbang bakti mengikut cara dan kemampuan tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top