Black senang ulang-alik Langkawi-KL urus bisnes

am@hmetro.com.my

HAMPIR dua dekad dalam bidang seni, nama penyanyi, Black Hanifah, 38, terus bertahan dan meniti di bibir peminat hingga kini.

Malah, rangkaian lagu hitsnya seperti Sofia Jane dan Teman Pengganti bukan sahaja diminati golongan dewasa yang membesar dengan lagu-lagunya, malah juga dalam kalangan peminat cilik.

Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah, dia tetap tidak melupakan karier nyanyian walaupun sudah membina empayar perniagaan di Langkawi, Kedah.

“Sebenarnya, saya juga tidak memperlahankan karier seni selepas menceburi bisnes kerana ada isteri dan pekerja yang membantu uruskan vila kami di Langkawi.

“Saya rasa tiada masalah sebab kita ada team di sana kerana saya fikir kalau saya buat semua seorang memang tidak akan jadi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Suka Showcase @ Sea bersama penyanyi, Hazama, di sini, baru-baru ini.

Mengenai karier nyanyian lagi, kata Black, dia akan melancarkan single baharu berjudul Terlerai Sudah ciptaan komposer Mas Dewangga pada September ini.

Menurutnya, apa yang menarik, penggambaran video muzik (MV) untuk single baharu ini berlangsung di Langkawi.

“Secara tak langsung turut membantu mempromosikan bisnes saya sebab pakai bot dan barang-barang yang saya ada.

“Selain itu, saya juga terbabit dengan konsert bersama Datuk Awie pada September nanti,” katanya.

Ulang alik ke Langkawi

Bercerita mengenai dunia perniagaan pula, kata Black, dia memang berulang-alik ke Langkawi kerana mempunyai vila yang diusahakan di pulau peranginan berkenaan.

“Rumah kelamin kami masih di Kuala Lumpur, tapi bila ada masa lapang saya akan ke Langkawi.

“Saya memang suka berada di Langkawi kerana saya boleh bercuti, tanam pokok, tanam cili, bela kuda dan bertukang.

“Selain itu, saya juga menyukai seni bina di mana dari bangunan itu kosong, saya uruskan bersama tukang kayu hingga siap sebelum isteri ambil-alih untuk uruskan aspek pemasaran dan sebagainya,” katanya.

Ditanya kenapa memilih mengumpul aset di Langkawi pula, kata Black, pembelian hartanah adalah pelaburan jangka panjang dan tidak merugikan.

“Saya juga sudah beli sebidang tanah di Tanjung Rhu untuk projek resort pula. Sahabat baik saya, penyanyi Hazama pun sudah beli tanah di sebelah tanah saya dan sudah bina rumah dua tingkat di Langkawi.

“Namun, bisnes vila yang diusahakan di Langkawi juga mengikut musim, contohnya ramai pengunjung ketika cuti sekolah. Saya juga ada buka kafe dan bilik penginapan di sana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Black menyifatkan tawaran menjayakan persembahan bersama Hazama di atas kapal Star Voyager sebagai peluang untuk mereka bekerja sambil bercuti bersama keluarga.

“Saya tidak pernah mengadakan konsert bersama Hazama dan bila dengar digandingkan dengannya, saya terus bersetuju.

“Ini bukan soal duit dan saya bersetuju sebab Hazama kerana saya dan keluarganya juga rapat.

“Selain itu, saya tidak pernah menaiki kapal persiaran dan kali ini dapat peluang bercuti dan bekerja sekali,” katanya.

Selain Black dan Hazama, program itu turut menampilkan penyanyi Shila Amzah di mana peminat berpeluang menyaksikan persembahan eksklusif mereka sepanjang pelayaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top