Tujuh lelaki Yemen disiasat lakukan aksi berbahaya ketika raikan perkahwinan rakan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tujuh lelaki warga Yemen, termasuk lima pelajar universiti awam, disiasat selepas melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu dua kenderaan ketika kenderaan itu sedang bergerak di Jalan Sungai Besi, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya mengesahkan satu video tular di laman Threads berkaitan insiden pemanduan dengan aksi berbahaya membabitkan dua kenderaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam semalam ketika kedua-dua kenderaan itu bergerak di Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.

“Penumpang bagi kedua-dua kenderaan bertindak mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu kenderaan secara berbahaya ketika kenderaan sedang bergerak.

“Individu yang terbabit terdiri daripada tujuh lelaki warganegara Yemen, masing-masing berusia antara 23 hingga 26 tahun, dengan lima daripada mereka adalah pelajar universiti awam di Kedah, manakala dua lagi adalah lepasan universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati tindakan itu dilakukan semata-mata untuk berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, iaitu peruntukan berkaitan perbuatan cuai atau gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top