TEHERAN: Iran menetapkan syarat kepada Amerika Syarikat (AS) untuk membuka semula Selat Hormuz dengan menyatakan bahawa penamatan peperangan di Asia Barat merupakan antara syarat tersebut.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei memberitahu saluran televisyen Al Manar TV, bahawa sebarang persefahaman dengan AS mengenai selat itu akan merangkumi penamatan perang dan operasi ketenteraan di Lubnan, Gaza dan Syria.
Beliau menambah bahawa konflik di Semenanjung Gaza perlu ditamatkan selain menuntut Israel berundur dari Lubnan dan menghentikan serangan terhadap Syria.
Rezaei berkata, Selat Hormuz tidak boleh dipisahkan daripada konflik serantau yang lebih luas dan menambah bahawa AS mesti membuktikan kesungguhannya untuk melaksanakan komitmen tersebut sebelum kepercayaan baharu dapat dibina.
Bagaimanapun, usaha kembali kepada diplomasi dilihat belum hampir berlaku.
Akhbar The Wall Street Journal melaporkan pada Khamis bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump tidak berminat untuk kembali kepada terma memorandum persefahaman yang dicapai dengan Iran pada Jun.
Memetik sumber yang mengetahui perkara itu, akhbar tersebut melaporkan bahawa Trump tidak lagi berminat dengan rangka perjanjian Jun dan sebaliknya menunggu untuk melihat sama ada strategi pentadbirannya melaksanakan tekanan ekonomi terhadap Iran akan berhasil.
Pada Isnin, AS mengumumkan kempen ‘Hari Penentuan Ekonomi’ terhadap Teheran dengan mengancam negara-negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Republik Islam itu, sekali gus mengalihkan tumpuan daripada tindakan ketenteraan kepada tekanan ekonomi.
Iran kini membenarkan koridor sementara dan terhad untuk kapal melalui Selat Hormuz, manakala masa depan lalu lintas maritim itu bergantung pada perkembangan persefahaman dengan Washington, menurut Rezaei.
Awal minggu ini, Oman dan Iran membincangkan cadangan untuk mewujudkan laluan perkapalan bersama sementara melalui Selat Hormuz, selain satu misi untuk membersihkan periuk api dari laluan eksport minyak utama itu.
Bagaimanapun, sebuah video yang dimuat naik di X pada lewat Khamis oleh Komander Markas Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper menyatakan bahawa pasukan tentera AS telah membersihkan periuk api dari selat tersebut.
Pasukan CENTCOM telah membantu memudahkan laluan kira-kira 1,500 kapal komersial dan 750 juta tong minyak mentah sejak beberapa bulan lalu, kata Cooper.
“Hari ini, laluan perkapalan antarabangsa dibuka dan momentum semakin meningkat,” ujarnya.
