Tehran: Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran Mejar Jeneral Mohsen Rezaei berkata Iran dan Oman telah bersetuju untuk membuka koridor sementara melalui Selat Hormuz bagi membolehkan kapal keluar dan masuk, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Dalam satu temu bual eksklusif bersama saluran televisyen Al-Manar pada petang Khamis, Mejar Jeneral Rezaei membincangkan isu berkaitan Selat Hormuz serta perkembangan konflik di Lubnan dan rantau tersebut.
Mengenai Selat Hormuz, Rezaei menjelaskan bahawa sebahagian daripada koridor itu terletak di perairan Iran manakala selebihnya berada di perairan Oman, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak menguruskan proses keluar masuk secara bersama.
Beliau berkata, perkara itu telah ditetapkan dan lokasi koridor sudah ditentukan dengan jelas.
“Justeru, sekiranya pihak Amerika Syarikat (AS) melaksanakan syarat-syarat kami dan bertindak sewajarnya, serta Selat Hormuz dibuka semula susulan pematuhan mereka, kapal-kapal akan melalui laluan baharu ini, iaitu laluan baharu yang terletak di tengah-tengah Selat Hormuz,” katanya.
Rezaei mengaitkan pembukaan semula sepenuhnya laluan itu dengan pelaksanaan syarat-syarat Iran terhadap Washington, terutamanya membabitkan usaha menamatkan perang di Asia Barat khususnya di Lubnan dan Gaza.
Beliau berkata, Iran telah menyediakan senarai syarat untuk dikemukakan kepada pihak AS dan buat masa ini, membenarkan pembukaan koridor sementara yang terhad bagi membolehkan kapal melalui bahagian tengah selat tersebut, dengan masa depan trafik maritim bergantung pada perkembangan persefahaman dengan Washington.
Beliau menegaskan isu Hormuz tidak boleh dipisahkan daripada konflik serantau yang lebih luas, sambil berkata AS mesti “membuktikan kesungguhannya” dalam melaksanakan komitmen yang dituntut sebelum sebarang kepercayaan baharu dapat dibina, memandangkan wujudnya “jurang ketidakpercayaan yang mendalam” antara kedua-dua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd
