Lapangan Terbang Nashville dicadang dinamakan sempena Dolly Parton

Washington: Lapangan terbang antarabangsa Nashville dijangka dinamakan semula sempena ikon muzik country, Dolly Parton, menerusi satu cadangan yang diumumkan pada Jumaat oleh Gabenor Tennessee, Bill Lee dan pihak lapangan terbang, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Inisiatif untuk menamakan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Nashville (BNA) itu bertujuan mewujudkan “penghormatan abadi terhadap legasi beliau yang begitu bermakna,” menurut kenyataan pejabat gabenor dan pihak lapangan terbang.

Parton telah memberi inspirasi kepada pelbagai generasi di Tennessee dan di seluruh dunia, menurut kenyataan itu.

“Di lokasi yang menjadi pintu masuk Tennessee menyambut dunia, amat wajar sekiranya BNA menggunakan nama Dolly Parton,” kata Lee dalam satu hantaran di platform X.

Parton, yang dilahirkan di Tennessee pada 1946, berpindah ke Nashville pada 1964 dan memulakan kerjayanya sebagai penulis lagu serta pemuzik.

Beliau kemudiannya muncul sebagai salah seorang tokoh paling terkenal dalam dunia muzik country.

Parton meninggal dunia di Nashville pada usia 80 tahun pada Selasa, menurut agensinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top