Barisan artis ternama semarakkan ROTF di MAHA

SERDANG – Rhythm of the Farmers (ROTF) di Perkampungan Bang Mat, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini dijangka menjadi antara tarikan utama Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menerusi barisan artis tempatan sepanjang penganjurannya sehingga 6 September.

Program hiburan yang bermula jam 8.30 malam itu menampilkan persembahan berkonsepkan tema berbeza, selain diserikan dengan aktiviti interaktif bagi memberikan pengalaman lebih menarik kepada pengunjung.

Penganjur, MARDI Corporation dalam satu kenyataan berkata, ROTF dirangka sebagai platform hiburan utama bagi melengkapkan pengalaman pengunjung menerusi pelbagai pengisian persembahan dan aktiviti interaktif.

“Penganjuran ROTF bertujuan mewujudkan pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh, menarik dan dinamik kepada pengunjung MAHA 2026.

“Pendekatan ini membolehkan pengunjung menikmati pelbagai pengisian hiburan secara berterusan, sekali gus meningkatkan penglibatan serta menghidupkan suasana sepanjang penganjuran,” katanya.

Malam ini, Hael Husaini, Hazama dan Sixth Sense bakal menggegarkan pentas menerusi tema Night of Vocal Supreme, diikuti Syamel, Suki Low, Bunkface, Santesh dan Dayang Nurfaizah bagi Night of Finale pada Ahad.

Tema Rock Anthem: The Legacy pada Isnin pula menampilkan Awie, Azlan & The Typewriter, Khalifah, Hulubalang dan Ruffedge, manakala The New Era Night pada 1 September membariskan Amir Masdi, Anggrek, Alpha serta Zaki & Osama.

Persembahan berteraskan kebudayaan pula dijadual berlangsung pada 2 September dengan menampilkan Noraliza Idris, Alena Murang (Sape) dan Haziq Rosebi.

Pada 4 September, Melodies on Faith menampilkan Zizi Kirana, Heliza Helmi, Lah Ahmad dan The Rayhan yang menampilkan Nazrey sebagai vokalis, manakala MAHA One Last Night pada 5 September menyaksikan persembahan Kayangan, Rahmad Mega, Elita & Abby Abadi, Cakra Khan serta Amy Search.

ROTF melabuhkan tirai pada 6 September menerusi Soul Journey yang menampilkan legenda rock, Ramli Sarip, bermula jam 5.30 petang.

Menurut MARDI Corporation, ROTF bukan sekadar mengetengahkan persembahan muzik, malah turut menggabungkan penampilan artis, buskers, persembahan kebudayaan dan pelbagai aktiviti santai.

“Selain pengisian hiburan, perhatian turut diberikan kepada aspek produksi, penjenamaan dan pengalaman pengunjung bagi memperkukuhkan identiti ROTF sebagai platform hiburan yang dinamik dan inklusif.

“Kami berharap ROTF akan menjadi antara elemen hiburan utama yang dinanti-nantikan, sekali gus memperkukuhkan lagi daya tarikan MAHA 2026,” katanya.

MAHA 2026 yang merupakan antara program tahunan terbesar negara itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Jumaat.

Scroll to Top