Maszlee Malik akan pantau 63 tekad Manifesto BN

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik mahu memantau pelaksanaan Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang dibuat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau akan memantau pelaksanaan setiap satu daripada 63 tekad yang dijanjikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum gabungan tersebut memenangi PRN Johor dengan majoriti besar.

“Sebagai Ahli Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, saya mempunyai tiga misi utama iaitu memahami selok belok perjalanan dewan, menyediakan perkhidmatan terbaik dan juga memantau pelaksanaan manifesto BN.

“BN Johor telah mengemukakan lebih 60 tekad pada PRN Johor lalu, jadi setiap bulan saya akan sediakan ‘dashboard’ untuk memantau sama ada mereka akan melaksanakan janji-janji tersebut atau tidak,” katanya ketika ditemui pada Karnival Merdeka di Stadium Olahraga Mount Austin, di sini hari ini.

Pada PRN Johor lalu, Onn Hafiz selaku Pengerusi BN Johor melancarkan manifesto PRN Johor Ke-16 yang mengandungi 63 tekad, berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.

Sementara itu, Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut berkata, jumlah ADUN pengimbang yang kecil berbanding jumlah ADUN BN tidak akan melunturkan semangat beliau untuk bersuara di dalam DUN Johor.

“Dalam dewan negeri, jumlah yang ramai atau sedikit tidak menjadi keutamaan. Yang penting, pihak pembangkang atau pengimbang akan menjalankan tugas semak dan imbang kerana tiada sesiapa yang sempurna.

“Tekad utama PH adalah untuk menjadi pemerhati, pemantau, dan pengimbang yang berdedikasi serta berfungsi sebagai suara, mata dan telinga rakyat,” katanya.

Maszlee turut berkata, pemilihan ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng sebagai Ketua Pengimbang DUN Johor merupakan persetujuan bersama antara parti-parti komponen PH negeri ini.

“Andrew Chen merupakan individu paling senior dan paling berpengalaman sebagai ketua pengimbang sebelum ini. Bagaimanapun, ini tidak bermaksud tujuh wakil PH yang lain tidak mempunyai peranan. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top