TEL AVIV: Parti Kuasa Yahudi berhaluan kanan Israel merancang menerbitkan buku kanak-kanak yang mengangkat aktiviti dan pencapaian pemimpinnya, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.
Buku itu akan diedarkan kepada pelajar di luar institusi pendidikan sebagai usaha menyasarkan golongan muda Israel yang semakin menjadi sebahagian penting daripada kelompok penyokong Ben Gvir.
Media Israel melaporkan buku berkenaan ditulis dalam bahasa mudah yang disesuaikan untuk kanak-kanak.
Buku bertajuk The Minister Who Didn’t Stop itu akan dilancarkan pada persidangan parti di Netanya pada 1 September, bertepatan dengan permulaan sesi persekolahan baharu di Israel.
Pejabat Ben Gvir berkata, buku itu akan menceritakan kepada kanak-kanak dan rakyat Israel mengenai ‘pencapaian besar’ beliau sepanjang empat tahun memegang jawatan sebagai Menteri Keselamatan Negara.
Sokongan terhadap Ben Gvir dan sayap kanan Israel meningkat mendadak dalam kalangan golongan muda Yahudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penyokongnya yang lebih muda pernah menyambut beliau dalam beberapa perhimpunan dengan laungan anti-Palestin, ‘Bakar kampung kamu’, yang meraikan kemusnahan kampung Palestin serta menyeru supaya rakyat Palestin diusir dari kediaman mereka.
Kajian yang diterbitkan Institut Demokrasi Israel mendapati 73 peratus rakyat Israel berketurunan Yahudi berusia 18 hingga 24 tahun menganggap diri mereka berhaluan kanan, sekali gus menyediakan sokongan berpotensi kepada ahli politik seperti Ben Gvir.
Bagaimanapun, antara ‘pencapaian besar’ Ben Gvir termasuk menjadi tokoh yang dipulaukan di peringkat antarabangsa.
Sekurang-kurangnya 10 negara melarang beliau memasuki negara masing-masing berikutan rekodnya sebagai menteri, manakala sekatan dalam sistem Schengen secara berkesan menyekat kemasukannya ke sebahagian besar Eropah.
Pengasingan Ben Gvir di peringkat antarabangsa turut menjadi simbol kepada status Israel yang semakin dipulaukan dunia susulan tindakannya di Gaza serta dasar apartheid di Tebing Barat yang diduduki.
Ben Gvir yang merupakan pengikut Meir Kahane, tokoh supremasi Yahudi kelahiran Amerika Syarikat, pernah disabitkan oleh mahkamah Israel atas kesalahan menghasut perkauman dan menyokong organisasi pengganas.
Awal bulan ini, Ben Gvir menggesa tentera Israel membunuh 30 atau 40 orang di Gaza setiap malam. Beliau berkata, terdapat penduduk di Gaza yang tidak layak hidup dan bukan manusia.- AGENSI
