Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperketat pemantauan dan penguatkuasaan dengan menempatkan anggota di lokasi tumpuan sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan tindakan akan diambil terhadap individu yang membuang sampah kecil di tempat awam sepanjang sambutan berkenaan.
“Orang ramai diingatkan bahawa kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007,” menurut kenyataan itu.


Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan perlu diterjemahkan melalui semangat patriotisme, disiplin dan tanggungjawab menjaga kebersihan negara.
“Kita mahu rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat dan rasa bangga. Selepas kita melaungkan ‘Merdeka’, janganlah kita tinggalkan sampah merata-rata.
“Cinta kepada negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi turut dibuktikan melalui sikap kita menjaga kebersihan negara dan meningkatkan imej negara,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas tayangan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 sebelum ini perlu dijadikan iktibar agar perkara sama tidak berulang.
“Kebersihan bukan tanggungjawab petugas pembersihan semata-mata. Sebaliknya, setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap sampah yang dihasilkan sendiri,”ujar beliau.
