Diet air selama 15 hari, wanita alami gangguan otak

BEIJING – Seorang wanita berusia 31 tahun di China dilaporkan mengalami gangguan serius pada otak selepas mengamalkan diet ekstrem dengan hanya minum air selama 15 hari.

Wanita dari wilayah Henan itu dilaporkan kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram dalam tempoh beberapa minggu, namun kini mengalami kesukaran untuk berjalan dan masalah daya ingatan.

Menurut laporan South China Morning Post, wanita yang tidak didedahkan identitinya itu sebelum ini mempunyai berat badan 70 kilogram dengan ketinggian 160 sentimeter.

Dia kemudiannya menjalani kaedah diet ekstrem sehingga kehilangan kira-kira 20 kilogram dalam tempoh singkat.

Selepas menjalani puasa dengan hanya mengambil air, wanita berkenaan mula mengalami kesukaran berjalan serta penurunan daya ingatan.

Pakar neurologi dari Hospital Gabungan Pertama Universiti Zhengzhou, Sun Guifang, mendiagnosis wanita itu mengalami ensefalopati Wernicke, iaitu gangguan otak serius yang boleh berlaku akibat kekurangan vitamin penting, khususnya vitamin B1.

Keadaan itu boleh menyebabkan kekeliruan, gangguan keseimbangan dan koordinasi ketika berjalan, masalah pergerakan mata serta gangguan daya ingatan.

Sun berkata, cara pesakit berjalan menyerupai pergerakan seekor penguin dan memberi amaran bahawa beberapa gejala yang dialaminya mungkin tidak dapat pulih sepenuhnya.

Menurut beliau, keadaan tersebut berkait rapat dengan corak pemakanan ekstrem yang diamalkan oleh pesakit.

Katanya, tubuh manusia tetap memerlukan pengambilan makanan secara teratur bagi mendapatkan pelbagai nutrien penting untuk memastikan fungsi badan, termasuk otak, berjalan dengan baik.

Wanita itu memberitahu bahawa dia mengamalkan bigu, iaitu kaedah berpuasa yang berasal daripada tradisi Taoisme.

Amalan tersebut berasaskan kepercayaan bahawa seseorang boleh mencapai tahap transendensi dan keabadian dengan bergantung kepada qi, iaitu tenaga vital yang dipercayai mengalir di alam semesta.

Istilah bigu secara literal membawa maksud mengelakkan bijirin dan amalan berkenaan dipercayai telah wujud sejak sebelum era Dinasti Qin antara 221 Sebelum Masihi hingga 206 Sebelum Masihi.

Scroll to Top