PETALING JAYA: Kualiti udara dua kawasan di Sarawak berada pada tahap bahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 setakat pukul 9 pagi ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 374.
Selain itu, Samarahan turut mencatatkan kualiti udara pada tahap bahaya dengan bacaan IPU 306.
Dua lagi kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching dengan bacaan 295 dan Sri Aman (214).
Sebanyak 13 stesen pula mencatatkan kualiti udara tidak sihat, termasuk Sarikei (195), Sibu (188), Bintulu (180), Samalaju (172), Mukah (171), Kapit (160), Miri (155) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (152).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Batu Muda, Kuala Lumpur dan Johan Setia, Selangor masing-masing dengan bacaan 153, diikuti Tanjung Malim (121), Taiping (113) serta Cheras (105).
Daripada keseluruhan stesen pemantauan, sebanyak 50 merekodkan bacaan IPU sederhana.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat dan 201 hingga 300 sangat tidak sihat. Bacaan melebihi 300 pula dikategorikan sebagai berbahaya. – UTUSAN
