Jangan jadikan MAHA sekadar pasar tani hujung minggu

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 kini bermula dan biasanya dianjurkan sempena musim cuti sekolah bagi memberi peluang warga Malaysia terutama di Lembah Klang mengunjunginya.

Sasaran pengunjung ke MAHA bukan sedikit, mencecah jutaan orang dan kali ini penganjurnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan kira-kira lima juta orang.

Mungkin kementerian berkenaan menggunakan penanda aras, semakin ramai pengunjung MAHA, itulah kejayaannya. Berdasarkan sejarah dan latar belakang, MAHA bermula pada tahun 2006, dan dilaksanakan secara tetap di MAEPS.

Penganjuran MAHA bermula dengan penubuhan Malayan Agri-Horticulture Association pada Oktober 1922. Penganjuran pertama MAHA diadakan di Padang Kelab Lumba Kuda Selangor dari 30 Jun hingga 2 Julai 1923.

Namun bagi saya, kejayaan MAHA bukan sekadar menarik ramai pengunjung. Ini kerana di peringkat awal penganjuran, MAHA memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang menjana pembangunan ekonomi negara dengan mengetengahkan produk yang terbaik dan terkini.

Produk tersebut terdiri daripada tanaman, buah-buahan, hasil ternakan, bunga-bungaan, kraftangan dan pelbagai inovasi dan dipamerkan setelah melalui proses saringan yang dilaksanakan.

Kita sebenarnya berharap MAHA membantu agenda kerajaan menjadikan pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi selain pembuatan dan perkhidmatan.

Bermaksud jika ramai pengunjung setiap kali penganjuran MAHA, tetapi bil import makanan negara tetap tinggi, maka saya berpendapat masih banyak perlu dilakukan.

Menurut seorang pakar pertanian tempatan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin daripada Putra Bussines School Universiti Putra Malaysia (UPM), MAHA boleh berfungsi sebagai platform strategik untuk memajukan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 dan Dasar

Keterjaminan Makanan Negara 2030 dalam aspek pemodenan, inovasi, pembangunan pasaran, kemampanan dan pembangunan bakat.

Kata beliau, antaranya termasuklah mempercepat penerimagunaan teknologi moden, menyediakan demonstrasi secara langsung berkaitan pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI), dron, automasi, pertanian presis, bioteknologi dan sistem pengurusan ladang digital.

Beliau juga berharap MAHA dapat menjana aspek pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi, menghubungkan universiti dan institusi penyelidikan seperti UPM dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan petani, pelabur serta syarikat agromakanan bagi memudahkan pelesenan, pemindahan teknologi dan pelaksanaan percubaan berskala komersial.

MAHA juga diharap dapat membantu memperluas akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa, menganjurkan sesi pemadanan perniagaan yang berstruktur dengan menghubungkan petani dan usahawan agromakanan dengan pemborong, peruncit, pengusaha hotel, pengeksport dan pembeli antarabangsa.

Perkara yang lebih penting adalah menarik minat golongan muda terhadap bidang pertanian iaitu dengan mengetengahkan sektor itu sebagai kerjaya moden, berasaskan teknologi dan berpotensi menguntungkan melalui program kerjaya.

Usaha -usaha itu penting bukan semata-mata memastikan keterjaminan makanan benar benar dicapai, tetapi lebih penting bakul makanan rakyat kita diisi dengan produk hasil pertanian tempatan.

Cabaran sebenar sektor pertanian sudah disebutkan tadi, sama ada kita mampu menjadikan sektor berkenaan benar benar penyumbang kepada ekonomi dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) agak signifikan, satu cabaran lain.

Ini kerana menurut Mad Nasir pada tahun 2024, nilai import makanan Malaysia mencecah RM93.8 bilion. Malaysia masih mengimport sebahagian besar keperluan asas seperti beras, gandum, produk tenusu dan daging.

“Nilai eksport pertanian pula RM54.46 billion, (maka) defisit perdagangan makanan negara mencecah RM39.34 bilion, mencerminkan tahap kebergantungan yang tinggi terhadap pasaran global, ” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, kebergantungan terhadap input import turut berlaku dalam sektor yang kelihatan mencukupi dari segi pengeluaran domestik.

Sebagai contoh, industri ayam yang menjadi sumber protein utama negara masih bergantung kepada makanan ternakan import 100 peratus seperti jagung bijian dan kacang soya.

Bagi seorang lagi penganalisis pertanian UPM, Prof Dr. Fatimah Mohamed Arshad kenyataan beliau agak pesimistik.

Katanya, sektor pertanian dan makanan pernah dipinggirkan apabila dianggap sebagai “sektor senja” kerana dianggap tidak menguntungkan, pulangan rendah dan tidak membawa pertumbuhan sepantas sektor pembuatan.

Beliau berkata, rata-rata pengeluar atau petani tidak menerima pulangan yang mencukupi untuk melaksanakan pelaburan modal ke atas sawah atau kebunnya, lantas melemahkan produktiviti dan inovasi. Sebagai contoh hampir 90 peratus pesawah padi golongan B40. Jika petani tidak berkemampuan menyara diri, selagi itu negara tidak akan capai sara diri alam makanan.

Apa lagi yang Malaysia perlukan kini, kerana Fatimah yang juga Felo Penyelidik Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Institut Pertanian Tropika dan Keselamatan Makanan UPM memberitahu sejak 1966, Malaysia telah menghasilkan 22 dokumen polisi.

Sebanyak 12 adalah dokumen Rancangan Malaysia lima tahun (1966-2025), tiga Dasar Pertanian Negara (1984 -2010), satu Dasar Sekuriti Makanan Negara (2008), dua Dasar Agro-Makanan Negara (2011-2030), dua Dasar Komoditi dan Agrokomoditi Negara (2011-2030) dan Satu Pelan

Tindakan Sekuriti Makanan Negara (2021-2025).

Pelan Tindakan Sekuriti Makanan merupakan pelan yang terperinci merangkumi semua aspek seperti ketersediaan, kemampuan membeli, sekuriti nutrisi dan kestabilan. Maka MAHA 2026 yang meletakkan slogan Penciptaan Nilai dan Keterjaminan Makanan bukan harapan baharu bagi mendepani semua cabaran.

Teknologi yang dihasilkan institusi penyelidikan seperti UPM dan MARDI ada, tetapi adakah mampu mendepani cabaran tersebut?.

MARDI kekal dengan usahanya menghasilkan secara purata 50 teknologi setahun, justeru berharap pengunjung MAHA 2026 mengambil peluang menyaksikan semua teknologi pertanian supaya memberi inspirasi kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan pertanian.

Dengan kata lain, mengunjungi MAHA sehingga 6 September perlu memberi tumpuan kepada aspek teknologi dan skim bantuan yang ditawarkan selain menyaksikan kejayaan usahawan pertanian.

Anggaran lima juta pengunjung pada MAHA 2026 tidak bermakna jika sekadar datang mencari kerepek ubi kayu atau cip durian kesukaan, kemudian merungut pulang dengan segala permasalahan yang dihadapi seperti kemudahan tidak memuaskan dan harga jualan yang mahal.

MAHA sepatutnya dilihat lebih daripada itu, bukan setakat pasar tani hujung minggu. Tidak cukup kita berbangga dengan kejayaan MAHA dengan jutaan pengunjung dan nilai jualan tinggi. Pada MAHA 2024, nilai jualan yang dicapai adalah RM48.55 juta.
Berdasarkan pecahan pula, sayur-sayuran RM 6.8 juta, makanan popular (RM 17) juta, produk-produk industri makanan asas tani (RM 9.8 juta), florikultur (1.9 juta), ternakan (3.4 juta) dan lain-lain lebih kurang RM 9.8 juta. Itulah dari segi nilai jualan.

Seperkara lagi, agensi agensi kementerian perlu turun padang melihat permasalahan petani yang kini meluah kekecewaan di media tempatan. FAMA terutama perlu melihat isu pemasaran sektor pertanian manakala Jabatan Pertanian perlu proaktif di lapangan.
Harapan kita Jika MAHA perlu menjadi wake up call sektor pertanian, bukan destinasi pasar tani hujung minggu ada pesta-pestaan.-UTUSAN

Scroll to Top