am@hmetro.com.my
Melaka: Persahabatan selama 21 tahun membuatkan seorang wanita nekad menggerakkan sumbangan kilat selepas kehilangan sahabat baik yang meninggal dunia akibat denggi berdarah di Hospital Melaka pada 26 Ogos lalu.
Nor Syafira Ainoor, 33, berkata, usaha itu dilakukan sebagai tanda menghargai persahabatan mereka selain mahu membantu meringankan beban keluarga arwah, terutama empat anak yang masih kecil dan bersekolah.
Menurutnya, Allahyarham Nurul Ain Che Saad, 33, yang menetap di Sungai Udang, bukan sekadar sahabat, malah insan yang banyak membantunya sejak zaman persekolahan apabila mereka sama-sama melalui pelbagai cabaran hidup.
“Sejak zaman sekolah kami sudah berkawan malah ibu ayah saya yang menetap di Duyong sudah seperti ibu bapa arwah sendiri.
“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehinggalah berumah tangga kami masih berhubung hampir setiap bulan, sehingga nafas terakhirnya, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Syafira berkata, sebaik mengetahui keadaan kesihatan arwah semakin merosot, dia membatalkan semua urusan di Kuala Lumpur dan bergegas pulang ke Melaka untuk menemani sahabatnya sehingga akhir hayat memandangkan keluarga arwah menetap di Langkawi, Kedah.
Katanya, arwah yang tidak bekerja dan menguruskan anak-anak sepenuh masa hanya bergantung kepada pendapatan suami, Muhammad Syafirul Asnawi yang menjual pakaian bundle selain melakukan beberapa pekerjaan sambilan.
“Sebab itu apabila tahu dia sakit, saya terus batalkan semua temujanji dan duduk di Melaka sehingga arwah menghembus nafas terakhir,” katanya arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Sungai Baru.
Dia yang menetap di Cyberjaya berkata, sumbangan kilat itu digerakkan selepas memikirkan nasib anak-anak arwah iaitu Ahza El Aisar, 11, Alisya Safiya, 8, Asfa Nufaul, 7, dan Aisha Sofia, 3.
Menurutnya, kenangan terakhir bersama arwah adalah pada Jun lalu ketika mereka meluangkan masa bersama di Genting Highlands.
Katanya, biarpun tabung kilat itu digerakkan menerusi media sosial namun terharu dengan keprihatinan individu yang tidak dikenali menyumbangkan untuk keluarga arwah.
“Saya cuma berharap sumbangan ini dapat membantu keluarga arwah, terutama anak-anaknya untuk meneruskan kehidupan dan pelajaran mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
