'Emak, ada orang tarik'

am@hmetro.com.my

Nilai: Seorang wanita berputih mata apabila rantai leher emas yang dipakai anaknya berusia tiga tahun diragut ketika bersiar-siar di sebuah festival makanan di N9 Arena, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu disedari kanak-kanak berkenaan apabila memaklumkan kepada ibunya rantai leher itu ditarik orang.

“Seorang wanita berusia 29 tahun membuat satu laporan polis kira-kira jam 10.30 malam tadi memaklumkan dia bersama dua anak pergi festival makanan berkenaan pada jam 9.30 malam

“Ketika pengadu bersama anak-anak sedang berjalan di kawasan festival itu, tiba-tiba anaknya yang berumur tiga tahun memberitahu ’emak, ada orang tarik’ sambil menunjuk ke lehernya,” katanya ketika di hubungi, hari ini.

Johari berkata, selepas mendengar perkara itu, pengadu terus melihat dan memeriksa bahagian leher anaknya dan mendapati rantai leher emas yang dipakai kanak-kanak itu sudah tiada.

“Wanita itu juga bertanyakan kepada anaknya sama ada melihat atau mengenali suspek yang mengambil rantai itu, namun mangsa hanya memaklumkan bahawa pelaku adalah seorang lelaki.

“Mangsa tidak dapat memberikan maklumat lain mengenai suspek memandangkan umur yang masih muda. Anggaran kerugian sebanyak RM2,900,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan dan mendapat maklumat mengenai suspek sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top