BANDAR GAZA: Serangan tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya empat penduduk manakala beberapa yang lain cedera selepas bedilan menyasarkan sebuah gudang bekalan perubatan di dalam kawasan kompleks hospital di tengah wilayah berkenaan.
Serangan dron Israel pada Sabtu menyerang sebuah khemah yang digunakan sebagai gudang simpanan bekalan perubatan di dalam kompleks Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir el-Balah hingga mencederakan tiga individu, menurut pengesahan pengarah hospital berkenaan.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah membedil sasaran di dalam kawasan Hospital Al-Aqsa.
Ia turut berkata pihaknya telah menyerang seorang komander Hamas yang bersembunyi di dalam kompleks hospital itu.
Namun, tentera Israel tidak dapat mengesahkan dengan segera sama ada beliau terbunuh.
Badan bukan kerajaan perubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF), menyuarakan rasa terkejut dan kesal berhubung laporan serangan udara Israel di dalam kompleks hospital itu.
Pihak MSF turut menambah bahawa serangan baharu ini berlaku tidak sampai sebulan selepas serangan terdahulu ke atas kompleks yang sama merosakkan gudang bekalan perubatan lain.
“Ketika tentera Israel secara rutin menyasarkan kawasan hospital, adalah sangat penting bagi semua pihak untuk menghormati serta memelihara berkecualian dan perlindungan ke atas fasiliti perubatan,” tulis MSF menerusi hantaran di platfom X.
Tebing Barat, wilayah yang sebahagiannya mempunyai pemerintahan sendiri dan menjadi lokasi pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin, menyaksikan peningkatan keganasan oleh peneroka haram Yahudi.
Operasi Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,313 orang sejak gencatan senjata berkuat kuasa, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin itu, yang turut beroperasi di bawah pentadbiran Hamas dan angkanya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – AGENSI
