am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komiditi (KPK) akan berhubung rapat dengan semua pekebun kecil susulan cuaca panas yang berkemungkinan menjejaskan pengeluar hasil komiditi.
Menteri KPK Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan pekebun kecil supaya mereka lebih bersedia menghadapi cuaca yang agak panas serta berlakunya fenomena El Nino.
“Kita percaya pekebun kecil juga sudah maklum mengenai perkara ini dan sentiasa berhubung rapat dengan agensi kami.
“El Nino sememangnya boleh memberikan kesan kepada tanaman komoditi jika cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan.
“Keutamaan kita ialah membantu pekebun kecil membuat persediaan dan mengurangkan kesan terhadap tanaman serta pendapatan mereka.
“Terutamanya melalui agensi kami seperti MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia), banyak bekerjasama dengan pekebun kecil dalam menasihatkan mereka supaya sentiasa bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival dan Peluncuran Kampung Angkat MADANI KPK 2026 di Kampung Parit Warijo, Sri Medan, di sini, hari ini.
Mengenai Kampung Angkat MADANI, Dr Noraini berkata, sebanyak RM590,000 diperuntukkan melaksanakan projek fizikal dan program pembangunan masyarakat untuk Kampung Angkat MADANI.
Katanya, antara kemudahan dinaik taraf ialah surau Kampung Parit Basri Laut, Surau Kampung Parit Warijo dan Dewan Serbaguna Kampung Parit Warijo.
“Kerja penambahbaikan turut membabitkan balai raya, pemasangan pintu dan penghawa dingin, penyediaan kabinet stor, kerja premix di halaman belakang serta baik pulih bumbung dan gelanggang terbuka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

