Banjir Nepal: Hospital berdepan kekurangan ubat, air bersih

Kathmandu: Mangsa banjir yang ditempatkan di kem penempatan di sekitar Hospital Trishuli kini berdepan kekurangan ubat, air bersih dan keperluan asas selain ancaman penularan penyakit.

Malah, keadaan keselamatan di sekitar hospital juga semakin meruncing disebabkan kekurangan anggota polis.

Memetik The Kathmandu Post, ahli farmasi Hospital Trishuli, Maheshwar Yadav berkata, ubat yang biasa dipreskripsikan untuk tekanan darah tinggi termasuk atenolol dan losartan juga tidak tersedia, manakala program insurans hospital tidak beroperasi kerana ketiadaan internet.

Selain itu, bekalan air bersih turut terjejas apabila banjir memusnahkan terusan yang sebelum ini menjadi sumber air hospital dan penempatan sekitar serta menghanyutkan saluran paip air melalui Tupche.

Susulan itu, doktor bimbang kekurangan air bersih dan sanitasi yang buruk di tiga kem penempatan sekitar Hospital Trishuli yang menempatkan kira-kira 1,000 orang boleh mencetuskan penularan penyakit.

Penguasa perubatan Hospital Trishuli, Rajendra Lama pula berkata, keadaan itu meningkatkan risiko penyakit merebak, terutama apabila wanita hamil, ibu yang baru bersalin dan individu yang memerlukan rawatan turut berada di kem berkenaan.

Lama berkata, hospital turut berdepan kekurangan ubat penting, gas memasak dan diesel untuk ambulans selain hanya tujuh atau lapan anggota polis ditempatkan di sekitar hospital ketika keadaan keselamatan semakin merosot.

“Rompakan pula sudah bermula pada waktu siang. Kami memerlukan lebih banyak rondaan polis dan keselamatan,” katanya.

Lama berkata, pada Jumaat, empat atau lima lelaki bertopeng tiba dengan motosikal dan dilaporkan menghalau doktor yang sedang menjalankan pembedahan.

Selain masalah kesihatan, penduduk yang dipindahkan turut mengadu makanan yang disediakan tidak mencukupi dan kurang khasiat, manakala kemusnahan semua jambatan di kawasan itu menyukarkan urusan membawa pesakit masuk atau keluar dari hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top