SHAH ALAM – Peruntukan tambahan RM350 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam bakal memperluas ketersambungan internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM1 bilion.
“Tambahan kepada peruntukan awal RM650 juta ini akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) dan melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan di hospital awam.
“Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’ sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam.
“Kerjasama rentas kementerian ini dijangka mempercepat usaha pendigitalan dari tahun 2045 ke tahun hadapan,” jelas MCMC.
Sebelum ini Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan MCMC akan menyediakan peruntukan bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam dengan perbelanjaan sehingga RM1 bilion.
Katanya, ia meliputi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik, ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara.
Dalam pada itu menurut MCMC, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu dan kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.
“MCMC menghargai komitmen Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang terus memberi keutamaan kepada langkah-langkah yang meringankan beban kewangan rakyat di samping memperkukuh mutu dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan, demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses oleh rakyat,” menurut MCMC.