Tarik balik fatwa Pas ‘kafirkan’ UMNO

PETALING JAYA: Pas digesa untuk menarik balik fatwa yang pernah ‘mengkafirkan’ UMNO menerusi Amanat Haji Hadi pada 1981 sekiranya benar-benar ikhlas mahu menghidupkan perpaduan ummah.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, sehingga sekarang sebenarnya amanat itu tidak pernah ditarik balik sehingga menyinggung sebahagian besar jiwa orang UMNO.

Beliau malah berkata, pemimpin Pas sudah tidak boleh dipercayai kerana hanya menaburkan janji manis ketika berada dalam keadaan terdesak.

“Kalau Pas sanggup menarik semula fatwa ‘mengkafirkan’ UMNO yang pernah dikeluarkan oleh Haji Hadi dahulu, Veteran UMNO menyokong usaha untuk menghidupkan perpaduan ummah. Kita boleh mencuba tetapi dengan bersyarat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, piagam MN pernah dimeterai secara rasmi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada 14 September 2019.

Namun, pada 13 Oktober 2022, Pas secara rasmi mengambil pendirian untuk kekal Bersama Perikatan Nasional (PN) sekali gus menamatkan Kerjasama MN dengan UMNO.

Mustapha berkata, kepemimpinan UMNO perlu membuat keputusan dengan teliti kerana parti itu sudah melalui episod dikhianati oleh Pas.

Jelasnya, Pas juga layak dilabelkan sebagai ‘parti munafik’ kerana tindakan yang dibuat tidak selari dengan janji yang ditaburkan.

“Dulu kita baru hendak meminang (MN 1.0), siang-siang sudah mengkhianati kita (UMNO).

“Ikut sejarah semua parti Pas sudah pernah bekerjasama. Ini sifat munafik, hari ini cakap lain, esok buat lain (kerjasama). Kata-kata pemimpin mereka memang tidak boleh dipercayai dan dipegang,” katanya.

Scroll to Top