Pengadunan VLSFO cetus persoalan status kargo bawah K8

KUALA LUMPUR: Aktiviti mencampurkan beberapa jenis petroleum untuk menghasilkan Very Low Sulphur Fuel Oil (VLSFO) di Tanjung Langsat, Johor menimbulkan persoalan sama ada aktiviti itu masih dikategorikan sebagai penyimpanan atau transit di bawah kawalan kastam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana pengadunan petroleum boleh mengubah ciri dan nilai komersial sesuatu kargo.

“Kalau petroleum yang berbeza dicampurkan dalam tangki yang sama untuk menghasilkan VLSFO, adakah ia masih dianggap sebagai penyimpanan atau transit, atau pada ketika itu kargo tersebut sebenarnya sudah berubah menjadi produk baharu?” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga perlu menjelaskan sama ada pengisytiharan asal di bawah prosedur K8 masih terpakai selepas kargo melalui proses pengadunan atau produk yang terhasil perlu diisytiharkan secara berasingan.

Katanya, perkara sama turut menimbulkan persoalan mengenai pengiraan duti dan cukai sekiranya petroleum yang memasuki Malaysia di bawah kawalan kastam kemudiannya diadun menjadi VLSFO sebelum dieksport atau dikeluarkan dari kemudahan berkenaan.

Jeyenderan berkata, aspek kebolehkesanan juga penting terutama apabila tangki penyimpanan telah mempunyai inventori petroleum sebelum kargo baharu dipunggah ke dalam tangki sama.

“Pengendali perlu boleh menunjukkan dengan tepat berapa jumlah kargo yang masuk, berapa inventori sedia ada, berapa yang digunakan untuk pengadunan dan berapa jumlah produk yang akhirnya dikeluarkan,” katanya.

Menurut beliau, sistem imbangan jisim (mass balance) yang jelas dan boleh diaudit perlu diwujudkan bagi membolehkan JKDM memadankan jumlah kargo yang masuk dengan inventori serta produk yang dikeluarkan.

“Apabila beberapa aliran petroleum dicampurkan dalam tangki yang sama, setiap tan kargo perlu boleh dikesan. Ini penting supaya pihak kastam boleh mengesahkan jumlah yang masuk, jumlah yang diadun dan jumlah yang akhirnya dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada rangka kerja sedia ada berpotensi membolehkan syarikat menikmati layanan yang bertujuan untuk aktiviti transit atau penyimpanan, pada masa sama menjalankan aktiviti pengadunan yang meningkatkan nilai komersial produk.

“Isunya bukan semata-mata sama ada kerajaan perlu mengenakan cukai baharu, tetapi sama ada peraturan kastam, zon bebas, gudang berlesen dan peraturan berkaitan petroleum dilaksanakan secara konsisten apabila berlaku perubahan fizikal atau komersial terhadap sesuatu kargo,” katanya.

Berikutan itu katanya, JKDM perlu menjelaskan sama ada kerangka kawalan sedia ada benar-benar mampu membezakan kargo yang sekadar disimpan dengan kargo yang telah melalui proses pengadunan dan mempunyai nilai komersial baharu.-UTUSAN

Scroll to Top