Ilham video Chong Wei pacu Zi Hong ke Grand Final

CHIAM Zi Hong baru berusia tujuh tahun ketika Datuk Seri Lee Chong Wei mengumumkan persaraan, namun legenda badminton negara itu tetap menjadi sumber inspirasi kepada perjalanan karier pemain muda berusia 14 tahun itu.

Terlalu muda untuk menyaksikan era kegemilangan Chong Wei, Zi Hong mengenali bekas pemain nombor satu dunia itu menerusi rakaman perlawanan lama di internet sambil mengkaji cara idolanya membina rali mengawal permainan di jaring dan menunggu peluang sebelum melancarkan serangan.

Pemain kelahiran Johor itu mula mencipta nama dalam kejohanan yang membawa nama idolanya apabila melangkah ke Grand Final Piala Lee Chong Wei selepas mengharungi aksi sengit tiga set dalam pusingan kelayakan perseorangan lelaki Bawah 15 Tahun di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu.

Zi Hong menewaskan prospek Perak, William Phoon, 15-11, 12-15, 17-15 untuk mengesahkan tempat dalam kelompok 64 pemain yang akan berentap pada Grand Final.

Seramai 32 pemain daripada pusingan kelayakan akan menyertai 32 pemain pilihan terdiri daripada wakil negeri dan skuad kebangsaan sebelum saingan format kalah mati menuju ke suku akhir, separuh akhir dan final.

“Ini kejohanan besar dan ramai pemain kuat menyertainya. Saya mahu bersaing dengan mereka serta mendapatkan lebih banyak pengalaman,” kata Zi Hong.

Zi Hong bukan calang-calang pemain apabila pernah muncul juara perseorangan lelaki Bawah 12 Tahun (B-12) pada Kejohanan Akhir Jelajah Elit Junior AFFIN 100PLUS 2024 sebelum menjuarai kategori B-14 JET pada 2025.

Pencapaian antarabangsa terbesarnya pula hadir tahun ini apabila menjuarai perseorangan lelaki B-15 Kejohanan YONEX-SINGHA-BAT-BTY di Bangkok, selain pernah muncul naib juara Pathumthani Junior International Series 2024.

Pemain muda itu turut memasang impian besar untuk menyarung jersi kebangsaan dan beraksi di pentas Olimpik serta Kejohanan Dunia.

“Saya mahu masuk skuad kebangsaan, mewakili Malaysia dan berharap dapat beraksi di Olimpik serta Kejohanan Dunia. Selepas SPM, saya berharap dapat menyertai BAM (Persatuan Badminton Malaysia), memberi fokus kepada latihan dan beraksi dalam lebih banyak kejohanan antarabangsa,” katanya.

Menurut Zi Hong, Chong Wei masih menjadi pemain yang sering dipelajarinya kerana tertarik dengan ketenangan serta kebijaksanaan legenda negara itu mengawal permainan.

“Saya menonton perlawanan penuh beliau di internet. Saya suka cara beliau bermain dengan tenang. Beliau mengawal rali dan jaring dahulu sebelum mencari peluang menyerang. Saya belum sampai tahap itu, tetapi saya cuba belajar daripada cara beliau bermain,” katanya.

Scroll to Top