Banjir Nepal: Pengebumian mangsa mula dijalankan

Bidur, Nepal: Nepal mula mengebumikan sebahagian daripada ratusan mayat yang ditemui akibat banjir dahsyat seumpama tsunami yang merempuh kawasan Himalaya.

Bencana itu menghanyutkan seluruh kampung dan menyebabkan ribuan lagi masih belum ditemui.

Keluarga yang berduka memenuhi stesen penyelamat dan hospital untuk mencari sanak saudara mereka.

Sebahagian lagi berdepan tugas sukar mengecam mayat di rumah mayat yang kini melepasi had muatan.

Pasukan tentera dan jurutera Nepal mengorek sisa runtuhan pada Ahad menuju ke arah pekerja yang dipercayai terperangkap di dalam terowong tapak hidroelektrik Trishuli 3A di lembah sungai Himalaya selepas berjaya memasukkan paip ke laluan berkenaan.

Pekerja yang berjaya keluar menceritakan detik menakutkan semasa bencana berlaku.

Surendra Dowluri, 33, dari negeri Andhra Pradesh, India, memberitahu air deras melimpahi tapak Upper Trishuli-1, tempat beliau bekerja.

“Kami mendengar bunyi yang sangat kuat dan melihat paras lantai turbin dilimpahi lumpur, manakala enam pekerja terperangkap di dalamnya,” kata Dowluri kepada AFP di ibu negara Nepal, Kathmandu selepas diselamatkan empat hari kemudian.

“Kami berjaya menyelamatkan lima daripada mereka, tetapi seorang lagi terkorban,” katanya sambil menceritakan bagaimana beberapa pekerja lain menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi atau kawasan pembinaan yang tidak dapat dicapai oleh arus deras.

Hujan lebat sepanjang malam dan paras air sungai yang meningkat turut menjejaskan operasi menyelamat pada Ahad. Keadaan ini menyebabkan kawasan penggalian dipenuhi air sebelum reda kemudiannya, menurut kenyataan tentera Nepal.

Pasukan penyelamat China berhampiran pelabuhan sempadan Tibet yang terjejas akibat tanah runtuh telah “dipindahkan ke lokasi selamat” pada Ahad selepas satu tasik baharu terbentuk akibat tanah runtuh, menurut media rasmi.

Pihak China setakat ini mengesahkan angka korban di Tibet adalah seramai 16 orang, dengan 546 orang masih hilang.

Di Nepal, agensi pengurusan bencana meningkatkan jumlah keseluruhan mangsa hilang di sebelah sempadan mereka kepada 2,502 orang pada Ahad, di samping 781 kematian disahkan.

Disebabkan jumlah mayat terlalu banyak serta ketiadaan kemudahan pembekuan yang sempurna, pihak berkuasa Nepal terpaksa memulakan proses pengebumian sebelum selesai proses pengecaman identiti.

Pegawai menyatakan sampel DNA diambil daripada mayat supaya ahli keluarga boleh menuntut mereka kemudian hari untuk menyempurnakan upacara pengebumian tradisional.

Sanak saudara yang bersedih berkumpul di pusat pengecaman untuk melihat skrin LED yang memaparkan gambar mayat ditemui, sesekali memejamkan mata apabila tidak sanggup melihat gambaran ngeri itu.

Berjalan keluar dari salah sebuah bangunan di sebelah rumah mayat sementara, Shobha Adhikary memberitahu penyelaras tempatan bahawa beliau percaya satu daripada gambar itu menunjukkan rakan karib masa kecilnya.

“Ia memang kelihatan seperti rakan saya,” katanya sambil menunjukkan gambar seorang lelaki separuh umur.

“Saya dan suami ialah rakan karib Rajkumar dan isterinya Geeta,” katanya. Geeta juga dilaporkan hilang sejak Rabu.

Mangsa yang terselamat berdepan laluan sukar untuk membina semula kehidupan dari sifar.

“Semua petempatan berhampiran sungai telah dihanyutkan,” kata seorang penduduk, Buddhi Ram Dangol kepada AFP di daerah Nuwakot, Nepal.

“Tiada apa yang tinggal.”

Menteri Luar Negeri, Shisir Khanal berkata, kos pembangunan semula boleh mencecah “bilion dolar”.

Beliau merayu bantuan khusus, termasuk dron berkuasa tinggi dan teknologi untuk membantu mengesan mangsa terperangkap.

Khanal juga memohon kit ujian forensik untuk mengecam mayat dan unit pembeku untuk menyimpan jasad, memandangkan mayat yang berada di dalam air boleh mereput pada kadar lebih cepat.

Menteri itu menekankan ketidakadilan yang mana Nepal perlu menanggung impak ekstrem perubahan iklim sedangkan ia merupakan antara negara dengan pelepasan karbon per kapita terendah di dunia.

Keadaan ini disebabkan lokasinya di Himalaya, banjaran gunung tertinggi di dunia, tempat glasier mencair pada kadar pantas akibat pemanasan planet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top